ENAKMEN 4 TAHUN 1994
KANUN ACARA JENAYAH (SYARIAH) 1994

BAHAGIAN IV - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB XI - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM MENGENAl PERBICARAAN



Seksyen 101. Mahkamah boleh mengemukakan soalan-soalan kepada tertuduh.

(1) Bagi maksud membolehkan tertuduh itu menjelaskan apa-apa hal keadaan yang ternyata dalam keterangan terhadapnya, Mahkamah boleh pada mana-mana peringkat perbicaraan, tanpa memberi amaran terlebih dahulu kepada tertuduh itu, mengemukakan soalan-soalan kepadanya sebagaimana yang Mahkamah fikirkan perlu.

(2) Jawapan-jawapan yang diberikan oleh tertuduh itu bolehlah dipertimbangkan dalam perbicaraan itu dan dijadikan sebagai keterangan bagi atau terhadapnya dalam mana-mana perbicaraan bagi apa-apa kesalahan lain yang jawapan-jawapan itu menunjukkan dia telah melakukannya.

(3) Pemeriksaan yang dibuat di bawah seksyen ini tidaklah boleh dijadikan sebagai pemeriksaan am atas apa-apa jua yang Mahkamah terfikir dengan sendirinya dan tidaklah boleh dijalankan bagi maksud mendorong tertuduh membuat pernyataan-pernyataan yang boleh menunjukkan dirinya bersalah.

(4) Budi bicara yang diberikan melalui seksyen ini hendaklah hanya digunakan bagi maksud menentukan daripada tertuduh itu bagaimana dia boleh menerangkan fakta-fakta yang didedahkan dalam keterangan terhadapnya, supaya fakta-fakta itu tidak menentangnya tanpa penjelasan.

(5) Soalan-soalan tidak boleh dikemukakan kepada tertuduh itu semata-mata untuk menyokong kes pendakwaan.

(6) Apabila tertuduh itu diperiksa di bawah seksyen ini oleh Mahkamah maka keseluruhan pemeriksaan itu termasuk tiap-tiap soalan yang dikemukakan kepadanya dan tiap-tiap jawapan yang diberikan olehnya hendaklah direkodkan dengan sepenuhnya, dan rekod itu hendaklah dibacakan kepadanya atau, jika dia tidak faham bahasa yang digunakan, hendaklah diterjemahkan kepadanya dalam bahasa atau isyarat yang dia fahami, dan dia adalah bebas untuk menjelaskan atau menambah kepada jawapan-jawapannya.

(7) Apabila keseluruhan pemeriksaan itu telah menepati dengan apa yang dinyatakan oleh tertuduh itu sebagai benar maka rekod itu hendaklah ditandatangani oleh Hakim yang menjalankan perbicaraan itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.