ORDINAN 41 TAHUN 2001
ORDINAN MAJLIS ISLAM SARAWAK, 2001

BAHAGIAN V - PENUBUHAN LEMBAGA BAITULMAL DAN WAKAF, BAITULMAL, WAKAF DAN NAZR
Wakaf dan Nazr



Seksyen 53. Modal wakaf dan nazr am.

(1) Tertakluk kepada subseksyen (2) dan (3), harta modal dan aset yang tersentuh oleh mana-mana wakaf atau nazr am yang sah tidak boleh menjadi sebahagian daripada Baitulmal, tetapi hendaklah digunakan menurut wakaf atau nazr am itu dan dipegang sebagai dana yang berasingan.

(2) Jika, oleh sebab masa telah luput atau hal keadaan sudah berubah, tidak mungkin peruntukan-peruntukan yang tepat tentang mana-mana wakaf atau nazr am dapat dijalankan dengan berfaedah, Majlis hendaklah menyediakan atau disebabkan disediakan suatu skim bagi menggunakan harta dan aset yang tersentuh olehnya mengikut cara yang sehampir mungkin sama dengan yang dikehendaki oleh terma-terma wakaf atau nazr am itu, dan hendaklah menggunakan harta dan aset itu dengan sewajarnya.

(3) Walau apa pun subseksyen (1), Majlis boleh, dengan kelulusan bertulis Yang di-Pertua Negeri, mengarahkan bahawa harta dan aset yang disebut dalam subseksyen (2) hendaklah ditambah kepada dan menjadi sebahagian daripada Baitulmal.

(4) Jika terma mana-mana wakaf atau nazr am tidak menyatakan cara penggunaan harta modal dan aset yang tersentuh olehnya, atau jika daripada terma-terma itu tidak pasti bagaimana harta modal atau aset itu patut digunakan, Majlis boleh, dengan kelulusan bertulis Yang di-Pertua Negeri, mengarahkan supaya harta modal dan aset itu hendaklah ditambah kepada dan menjadi sebahagian daripada Baitulmal.

(5) Segala suratcara yang mewujudkan, yang menjadi keterangan atau yang menyentuh mana-mana wakaf atau nazr am, berserta dengan mana-mana dokumen hakmilik atau sekuriti-sekuriti lain yang berhubungan dengannya, hendaklah dipegang dan disimpan oleh Majlis.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.