ORDINAN 41 TAHUN 2001
ORDINAN MAJLIS ISLAM SARAWAK, 2001

BAHAGIAN III - YANG DIPERTUA, SETIAUSAHA DAN PERJALANAN MAJLIS
Kuasa, Tugas dan Tanggungjawab Setiausaha



Seksyen 25. Memanggil mesyuarat.

(1) Semua mesyuarat Majlis hendaklah dipanggil oleh Setiausaha pada bila-bila masa atas arahan Yang Dipertua.

(2) Mana-mana empat orang anggota Majlis boleh pada bila-bila masa secara bertulis menghendaki Setiausaha supaya memanggil mesyuarat Majlis dengan syarat mereka memberitahu Setiausaha akan maksudnya mereka inginkan mesyuarat itu dipanggil.

(3) Setiausaha hendaklah memanggil suatu mesyuarat dalam masa empat belas hari dari tarikh menerima arahan di bawah subseksyen (1) atau kehendak di bawah subseksyen (2).

(4) Notis bertulis sekurang-kurangnya tujuh hari hendaklah diberikan tentang mana-mana mesyuarat, tetapi Yang Dipertua boleh, jika dia berpendapat bahawa ada keperluan mendesak untuk memanggil suatu mesyuarat dengan notis yang lebih singkat, mengarahkan supaya kehendak notis tujuh hari itu diketepikan.

(5) Notis mesyuarat boleh dihantar dengan pos, faksimile atau E-mel.

(6) Notis yang dihantar kepada seseorang anggota dengan pos hendaklah dialamatkan ke tempat tinggalnya yang terakhir diketahui dan hendaklah disifatkan telah disampaikan mengikut perjalanan pos biasa.

(7) Notis yang dihantar kepada seseorang anggota dengan faksimile hendaklah dihantar kepada nombor faksimile yang diberikan oleh anggota itu secara bertulis kepada Setiausaha dan hendaklah disifatkan telah diterima oleh anggota itu apabila kod panggilan balik diterima oleh Setiausaha.

(8) Notis yang dihantar kepada seseorang anggota dengan E-mel hendaklah dihantar ke alamat E-mel yang diberikan oleh anggota itu secara bertulis kepada Setiausaha dan hendaklah disifatkan telah diterima apabila pentadbir mel yang berkenaan memaklumkan bahawa mel itu sudah berjaya dihantar atau jika tidak ada makluman daripada pentadbir mel bahawa mel itu tidak berjaya dihantar .

(9) Tiada notis mesyuarat diperlukan dalam hal anggota yang sedang berada di luar Negeri.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.