ORDINAN 41 TAHUN 2001
ORDINAN MAJLIS ISLAM SARAWAK, 2001

BAHAGIAN VI - PENUBUHAN LEMBAGA HAL-EHWAL ISLAM DAN ADAT MELAYU, LEMBAGA MASJID-MASJID, DLL.
Lembaga Hal -Ehwal Islam dan Adat Melayu



Seksyen 56. Penubuhan Lembaga Hal-Ehwal Islam dan Adat Melayu.

(1) Maka hendaklah ditubuhkan, bagi maksud Ordinan ini, suatu Lembaga Hal-Ehwal Islam dan Adat Melayu yang terdiri tidak kurang daripada empat orang anggota, termasuk Pengerusi, tetapi tidak lebih daripada lapan orang anggota lain yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri, atas syor Majlis, bagi apa-apa tempoh sebagaimana yang ditetapkan.

(2) Adalah menjadi tanggungjawab Lembaga Hal-Ehwal Islam dan Adat Melayu untuk menolong dan membantu Majlis mengenai segala perkara yang berhubungan dengan undang-undang adat Melayu di dalam Negeri, hal-ehwal dan aktiviti-aktiviti semua pertubuhan, badan, organisasi khairat agama Islam dan agama Islam di dalam Negeri, kecuali persoalan tentang atau yang berhubungan dengan Undang-Undang Islam dan juga persoalan-persoalan yang berhubungan dengan pentadbiran keadilan.

(3) Jika di dalam mana-mana mahkamah, selain Mahkamah Syariah, apa-apa persoalan yang berhubungan dengan apa-apa perkara di bawah subseksyen (2) diminta untuk diputuskan, maka mahkamah itu boleh meminta pendapat Majlis tentang persoalan itu.

(4) Sebaik sahaja menerima permintaan di bawah subseksyen (3), Majlis hendaklah merujukkan persoalan itu kepada Lembaga Hal-Ehwal Islam dan Adat Melayu yang hendaklah, bagi pihak dan atas nama Majlis, memberikan pendapatnya tentang persoalan itu mengikut pendapat majoriti anggotanya kepada mahkamah yang meminta itu.

(5) Semasa membuat dan mengeluarkan apa-apa keputusan sedemikian mengikut seksyen ini, Lembaga Hal-Ehwal Islam dan Adat Melayu hendaklah memberi perhatian wajar kepada undang-undang adat Melayu yang terpakai di dalam Negeri.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.