ENAKMEN 3 TAHUN 1982
ENAKMEN PENTADBIRAN MAHKAMAH SYARIAH 1982

BAHAGIAN IV - PERATURAN AM



Seksyen 21. Penyampaian proses.

(1) Proses Mahkamah hendaklah disampaikan oleh seorang pegawai Mahkamah atau oleh orang lain yang diberi kuasa oleh Mahkamah dan boleh disampaikan pada bila-bila masa di mana-mana tempat di dalam Negeri.

(2) Dalam pembicaraan jenayah penyampaian hendaklah kepada penerima sendiri.

(3) Dalam pembicaraan sivil penyampaian hendaklah kepada penerima sendiri melainkan dengan sebab-sebab tertentu maka Mahkamah boleh perintahkan penyampaian ganti. Penyampaian ganti hendaklah dilakukan dengan cara sebagaimana yang diperintahkan oleh Mahkamah dan hendaklah berkuatkuasa seperti penyampaian kepada penerima sendiri.

(4) Penyampaian kepada penerima sendiri hendaklah dibuat dengan menyerahkan salinan asal dokumen itu atau salinan dokumen yang telah dimeterikan dan ditandatangani kepada orang yang hendak disampaikan dokumen itu. Jika enggan menerima maka bolehlah dokumen itu dibawa kepada pengetahuannya dan ditinggalkan dekat dengan dia.

(5) Seseorang yang telah menyampaikan apa-apa dokumen atau prosiding hendaklah dengan serta merta mengfailkan dalam Mahkamah satu memorandum yang menunjukkan tempat, waktu dan cara penyampaian.

(6) Penyampaian hendaklah dibuktikan jika diperlukan dengan keterangan bersumpah.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.