ENAKMEN 4 TAHUN 1984
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM SELANGOR 1984

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 51. Hidup semula sebagai suami isteri atau ruju'.

(1) Dalam seksyen ini "talaq raj'i" ertinya perceraian dengan satu atau dua talaq yang tidak diikuti dengan habis 'iddah, dan "bersekedudukan semula" ertinya hidup semula sebagai suami isteri dalam tempoh sebelum perceraian menjadi tak boleh dirujukkan.

(2) Jika, selepas sesuatu talaq raj'i, persekedudukan semula berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hal persekedudukan semula itu dan butir-butir lain yang berkaitan dalam tempoh tujuh hari kepada Pendaftar bagi kariah masjid di mana mereka bermastautin.

(3) Pendaftar hendaklah membuat apa-apa penyiasatan yang perlu dan, jika berpuashati bahawa persekedudukan semula telah berlaku mengikut Hukum Syara' hendaklah mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat suatu endorsemen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian, jika perceraian itu telah didaftarkan olehnya, dan hendaklah meminta pihak-pihak itu menyerahkan kepadanya surat-surat perakuan cerai yang berkaitan dan hendaklah mengeluarkan kepada mereka surat perakuan rujuk dalam borang yang ditetapkan.

(4) Pendaftar hendaklah juga menyerahkan satu salinan surat perakuan ruju' itu kepada Ketua Pendaftar yang mana hendaklah mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat suatu endorsemen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian yang disimpan olehnya.

(5) Mana-mana pihak kepada suatu perkahwinan yang tidak melaporkan persekedudukan semula sebagaimana dikehendaki oleh seksyen-kecil (2) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum dengan denda tidak lebih daripada lima ratus ringgit atau dengan penjara tidak lebih daripada enam bulan atau dengan kedua-duanya denda dan penjara itu.

(6) Jika perceraian itu tidak didaftarkan oleh Pendaftar yang kepadanya laporan di bawah seksyen kecil (2) itu dibuat, ia hendaklah merekodkan dalam surat-surat perakuan cerai nombor siri dan butir-butir surat perakuan persekedudukan semula itu dan hendaklah menghantar surat-surat perakuan cerai itu kepada Pendaftar yang telah mengeluarkannya bersama dengan satu salinan surat perakuan persekedudukan semula itu, dan Pendaftar yang satu lagi hendaklah selepas itu mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat suatu endorsemen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian dan hendaklah menyerahkan salinan surat perakuan persekedudukan semula itu kepada Ketua Pendaftar yang mana hendaklah mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat endorsemen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian yang disimpan olehnya.

(7) Jika talaq raj'i telah berlaku tanpa diketahui oleh isteri, suami tidak boleh menghendaki atau meminta isteri supaya bersekedudukan semula dengannya tanpa mengzahirkan kepadanya hal perceraian itu.

(8) Jika selepas talaq raj'i suami melafazkan ruju' dan isteri telah bersetuju terhadap ruju' itu, isteri boleh, atas permohonan suami, diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, melainkan jika isteri itu menunjukkan sebab-sebab yang baik mengikut Hukum Syara' sebaliknya, dan jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.

(9) Jika selepas talaq raj'i suami melafazkan ruju' tetapi isteri telah tidak bersetuju terhadap ruju' itu kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh Hukum Syara' ia tidak boleh diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.