ENAKMEN 8 TAHUN 1982
ENAKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG 1982

BAHAGIAN XI - ACARA DALAM PEMBICARAAN MAL



Seksyen 218. Pembelaan.


(1) Mana-mana pihak yang kena tuntut boleh menyerahkan kepada Mahkamah pembelaan bertulis, dan oleh itu hendaklah juga memberi kepada Mahkamah satu salinan pembelaan itu yang mana Mahkamah hendaklah mengarahkan baginya diserahkan kepada tiap-tiap pihak yang menuntut.

(2) Jika seorang yang kena tuntut belum lagi menyerahkan surat pembelaannya kepada Mahkamah pada masa ia hadir pada kali pertamanya dan tidak berhajat hendak berbuat demikian tetapi bercadang membela dirinya terhadap tuntutan itu, maka Mahkamah hendaklah menentukan secara lisan alasan-alasan pembelaannya dan selepas itu ia tidaklah boleh membangkitkan alasan-alasan pembelaan yang lain dengan tidak keizinan Mahkamah itu.

(3) Jika pihak yang kena tuntut itu berhajat menyerahkan surat pembelaan, maka Mahkamah hendaklah menetapkan masanya dalam mana ia boleh berbuat demikian, yang mana biasanya hendaklah tidak kurang daripada tujuh hari sebelum hari pembicaraan.

(4) Jika pihak yang kena tuntut hendak mengemukakan perkara-perkara dengan cara tuntutbalas maka Mahkamah bolehlah sama ada membenarkannya atau mengarahkannya memulakan pembicaraan yang lain.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.