ENAKMEN 4 TAHUN 1994
KANUN ACARA JENAYAH (SYARIAH) 1994

BAHAGIAN III - PENYIASATAN KESALAHAN
BAB VI - MAKLUMAT KEPADA PEGAWAI PENGUATKUASA AGAMA DAN KUASA MENYIASAT



Seksyen 62. Pegawai Penguatkuasa Agama boleh menghendaki bon untuk kehadiran pengadu dan saksi.

(1) Jika atas sesuatu penyiasatan yang dibuat di bawah Bab ini pegawai yang membuat penyiasatan itu mendapati bahawa ada keterangan yang cukup atau ada alasan syak yang munasabah untuk mewajarkan prosiding jenayah dimulakan atau diteruskan terhadap mana-mana orang, maka pegawai itu boleh menghendaki pengadu, jika ada, dan juga seberapa ramai orang lain yang didapati oleh pegawai itu tahu akan hal keadaan kes itu, sebagaimana yang fikirkannya perlu, menyempurnakan suatu bon untuk hadir di hadapan Mahkamah Syariah yang disebut di dalamnya dan memberi keterangan dalam perkara pertuduhan terhadap tertuduh itu.

(2) Pegawai yang di hadapannya bon itu disempurnakan hendaklah menghantar bon itu ke Mahkamah Syariah.

(3) Jika mana-mana pengadu atau saksi enggan menyempurnakan bon, maka pegawai itu hendaklah melaporkan kepada Mahkamah Syariah yang boleh menurut budi bicaranya mengeluarkan saman atau waran untuk menjamin kehadiran pengadu atau saksi itu di hadapannya untuk memberi keterangan dalam perkara pertuduhan terhadap tertuduh.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.