ENAKMEN 3 TAHUN 1996
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteks menghendaki makna yang lain -

"baligh" ertinya sudah cukup umur mengikut hukum Syara';

"Enakmen Pentadbiran" Ertinya Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang, 1993 [En. 7/53];

"fatwa" ertinya mana-mana fatwa yang dibuat di bawah seksyen 36 Enakmen Pentadbiran;

"Hakim" ertinya hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah yang dilantik masing-masing di bawah seksyen 44, 45 dan 46 Enakmen;

"Hukum Syara'" ertinya hukum Syara' mengikut mana-mana mazhab yang diiktiraf;

"Jawatankuasa Syariah" ertinya Jawatankuasa Syariah yang ditubuhkan di bawah seksyen 39 Enakmen Pentadbiran;

"li'an" ertinya sesuatu pengataan yang dibuat oleh seseorang lelaki dengan bersumpah mengikut Hukum Syara' bahawa isterinya telah melakukan zina;

"liwat" ertinya perhubungan seks sesama lelaki;

"Mahkamah" ertinya Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, atau Mahkamah Rayuan Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah seksyen 42 Enakmen Pentadbiran;

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang yang ditubuhkan di bawah subseksyen 4 (1) Enakmen Pentadbiran;

"Mufti" ertinya orang yang dilantik menjadi Mufti bagi negeri Pulau Pinang di bawah subseksyen 34 (1) Enakmen Pentadbiran;

"muncikari" ertinya seseorang yang bertindak sebagai orang tengah antara seorang perempuan dengan seorang lelaki bagi apa-apa maksud yang menyalahi Hukum Syara';

"musahaqah" ertinya perhubungan seks sesama perempuan;

"pusat pemulihan yang diluluskan" ertinya mana-mana tempat yang atau institusi yang ditetapkan sebagai sedemikian di bawah seksyen 54;

"qazaf" ertinya membuat pengataan palsu terhadap mana-mana orang;

"rumah diluluskan" ertinya mana-mana tempat atau institusi yang ditetapkan sebagai sedemikian di bawah seksyen 54;

"sumbang mahram" ertinya persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang dilarang mengahwini satu sama lain di bawah hukum Syara';

"takfir" ertinya menganggap seseorang orang Islam sebagai orang bukan Islam;

"zina" ertinya persetubuhan antara lelaki dengan perempuan tanpa nikah.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta-Akta Tafsiran 1948 [Akta 388] dan 1967 hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya masing-masing dalam Akta-Akta itu setakat yang erti sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syara'.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang sifat atau tafsiran perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual , rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukkan bertentangan dengannya dalam Jadual itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.