ENAKMEN 5 TAHUN 1984
ENAKMEN ACARA SIVIL SYARIAH 1984

BAHAGIAN XXI - PEMBAHAGIAN KADAR



Seksyen 164. Acara mendapat perintah tahanan kemudian, dll.

(1) Apa-apa harta yang ditahan melalui perintah pelaksanaan oleh mana-mana Mahkamah sama ada telah diambil dalam penjagaannya secara fizikal atau tidak hendaklah dianggap sebagai telah disita oleh Mahkamah dan hendaklah seterusnya tidak boleh disita oleh mana-mana orang lain tetapi apa-apa perintah atau waran tahanan atau penyitaan kemudiannya atas harta yang sama oleh Mahkamah itu juga atau Mahkamah lain, sama ada di tempat itu atau di tempat lain, satu salinan sah perintah tersebut, boleh diserah kepada bailif yang merampas harta itu dan perintah itu hendaklah berkuatkuasa sebagai suatu tahanan bagi maksud Bahagian ini.

(2) Jika sesuatu harta itu tidak boleh secara fizikal diambil untuk penjagaan bailif atau mana-mana pegawai Mahkamah, mana-mana perintah tegahan atau dokumen yang sama bagi maksud melindungi kepentingan mana-mana pemiutang kemudiannya hendaklah diserah atau didaftarkan dan hendaklah berkuatkuasa menurut seksyen-kecil (1).

(3) Jika harta itu dilepaskan daripada perintah tahanan terdahulu ia hendaklah dianggap sebagai telah ditahan dan disita di bawah perintah atau waran kemudiannya.

(4) Jika harta itu kekal di bawah tahanan terdahulu dan tiada suatu perintah penjualan mengenainya telah dibuat dua bulan selepas tahanan, harta itu hendaklah disifatkan sebagai telah dilepas daripada tahanan terdahulu dan seksyen-kecil (3) hendaklah dipakai.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.