ENAKMEN 10 TAHUN 1993
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH 1993

BAHAGIAN VI - PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB XXIV - PELUPUSAN BARANG KES DAN HARTA YANG BERKAITAN DENGAN KESALAHAN



Seksyen 198. Perintah pelupusan harta mengenai mana kesalahan telah dilakukan.

(1) Mana-mana Mahkamah boleh jika difikirkan patut menahan mana-mana harta atau dokumen yang dikemukakan ke Mahkamah di bawah Enakmen ini.

(2) Semasa atau selepas tamatnya mana-mana perbicaraan di mana-mana Mahkamah, Mahkamah boleh membuat perintah sebagaimana yang difikirkan patut untuk penjagaan atau pelupusan mana-mana harta atau dokumen yang dikemukakan di hadapannya atau di dalam jagaannya atau di dalam jagaan Pegawai Penguatkuasa Agama atau Pegawai Polis atau mana-mana penjawat awam berhubung dengan mana-mana kesalahan yang telah dilakukan atau yang mana telah digunakan untuk melakukan mana-mana kesalahan.

(3) Kuasa yang diberikan itu kepada Mahkamah di bawah subseksyen (2) hendaklah, termasuk kuasa membuat perintah untuk melucut hak atau merampas atau memusnahkan atau menghantarserahkan harta tersebut kepada mana-mana orang tetapi hendaklah dijalankan tertakluk kepada mana-mana peruntukan khas berhubung dengan pelucutan hak, rampasan, pemusnahan atau hantar-serah yang terkandung di dalam undang-undang bertulis di bawah mana sabitan itu telah diputuskan.

(4) Mahkamah yang membuat perintah di bawah seksyen ini berhubung dengan mana-mana harta atau dokumen hendaklah mengarahkan sama ada perintah tersebut akan berkuatkuasa serta-merta atau pada mana-mana tarikh akan datang atau pada berlakunya mana-mana peristiwa; dan hendaklah, kecuali harta itu ialah binatang ternakan atau harta yang mudah rosak, memasukkan di dalam perintah tersebut semua arahan dan syarat yang perlu untuk menentukan bahawa harta atau dokumen itu akan dikemukakan pada bila-bila masa yang diperlukan untuk tujuan perbicaraan sama ada sewaktu atau di penutup di mana perintah tersebut dibuat untuk tujuan mana-mana rayuan atau tindakan jenayah selanjutnya berikutan dari perbicaraan tersebut.

(5) Di dalam seksyen ini, istilah "harta" di dalam kes berkaitan dengan harta yang mengenainya di dapati suatu kesalahan telah dilakukan, termasuk bukan sahaja harta tersebut yang mulanya di dalam milik atau di bawah pengawasan mana-mana pihak tetapi juga mana-mana harta yang telah diubah darinya atau ditukar dengannya, dan apa juga yang diperolehi dengan perubahan atau pertukaran tersebut.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.