ENAKMEN 8 TAHUN 1983
ENAKMEN KELUARGA ISLAM 1983

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.


(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"anak dara" ertinya seorang perempuan yang belum pernah bersetubuh sama ada sudah berkahwin atau tidak;

"balu" ertinya perempuan yang suaminya telah mati;

"bermastautin" ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya tinggal di tempat kediaman secara tetap dalam kawasan tertentu;

"duda" ertinya lelaki yang isterinya telah mati;

"edah" ertinya tempoh masa yang mesti ditunggu oleh perempuan untuk mengetahui kesucian rahimnya atau kerana lain-lain yang diperintah oleh Hukum Syarak;

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1959 [Enak. Melaka Bil. 1/59.];

"fasakh" ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu kejadian yang diharuskan oleh Hukum Syarak;

"harta" ertinya semua harta alih dan tak alih termasuklah wang, kepentingan, aset, dan hak-hak kepunyaan yang lain;

"harta sepencarian" ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;

"Hukum Syarak" ertinya hukum yang diterima oleh mazhab Syafie, Hanafi, Maliki, Hambali dan Syiah (Zaidiyyah dan Jaafariyyah);

"janda" ertinya seseorang perempuan yang telah berkahwin dan diceraikan;

"Jawatankuasa Pendamai" ertinya Jawatankuasa Pendamai yang dilantik di bawah subseksyen (3) seksyen 35;

"Kadi" ertinya Kadi yang dilantik di bawah Enakmen Pentadbiran;

"Kadi Besar" ertinya Kadi Besar yang dilantik di bawah Enakmen Pentadbiran;

"Kariah" ertinya kawasan yang ditentukan oleh Majlis Ugama Islam Melaka seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pentadbiran;

"Ketua Pendaftar" ertinya seorang Ketua Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk yang dilantik di bawah seksyen 6;

"khuluk" ertinya satu cara penceraian dengan membuat bayaran tertentu kepada suami dan disertakan dengan lafaz Ijab Kabul membatalkan perkahwinan;

"Kitabiyah" ertinya-
"Mahkamah" ertinya Mahkamah Kadi Besar atau Mahkamah Kadi seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pentadbiran;

"Mahkamah Tinggi" ertinya Mahkamah Tinggi Sibil;

"maskahwin" ertinya bayaran yang wajib dengan akad nikah atau dengan lain-lain sebab mengikut Hukum Syarak sama ada yang berupa wang tunai atau mata benda;

"muasyarah". ertinya pergaulan rumahtangga yang baik di antara suami isteri;

"murtad" ertinya seseorang yang keluar dari Ugama Islam dengan melakukan sesuatu perkataan, perbuatan atau kerana itiqad yang tertentu mengikut Hukum Syarak;

"mutaah" ertinya bayaran saguhati yang diberi mengikut Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan;

"nafkah" ertinya perbelanjaan yang wajib mengikut Hukum Syarak bagi isteri, anak, perempuan dalam edah dan orang yang uzur;

"nasab" ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah menurut Hukum Syarak;

"Negeri" ertinya Negeri Melaka;

"Pemberian" ertinya pemberian yang berupa wang tunai atau mata benda yang diberi oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan;

"Pendaftar" ertinya seorang Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk yang dilantik di bawah seksyen 6, dan termasuk Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar;

"rujuk" ertinya kembali semula suami isteri yang telah bercerai kepada nikah yang asal;

"sesusuan" ertinya penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungan sebanyak tidak kurang daripada lima kali yang mengenyangkan dalam masa umurnya dua tahun ke bawah;

"syubhat" ertinya perbuatan yang pada hakikatnya salah mengikut Hukum Syarak yang dilakukan dengan suci hati dan kepercayaan bahawa ianya halal;

"tak sah taraf" ertinya anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhat;

"taliq" ertinya lafaz yang dibuat oleh seseorang suami selepas akad nikah yang membolehkan jatuhnya talak terhadap isteri apabila berlakunya sesuatu perkara atau perbuatan;

"wali" ertinya seseorang yang sah mengikut Hukum Syarak menjadi wali bagi hal mengahwinkan seseorang perempuan;

"wali am" ertinya wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syarak;

(2) Semua perkataan, perbahasaan, tafsiran dan rangkaikata yang digunakan di dalam Enakmen ini dan tidak ditakrifkan di dalamnya maka takrifan dalam Ordinan Tafsiran dan Klausa-Klausa Am 1948 [Ord.7/48], hendaklah dipakai.

(3) Jika berlaku sebarang kekeliruan atau kekaburan dalam memberi erti sesuatu perkataan, perbahasaan atau rangkaikata mengenai Hukum Syarak maka adalah menjadi budibicara Mahkamah yang membicarakan kes itu untuk memberi takrifan kepada perkataan, perbahasaan atau rangkaikata sedemikian itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.