ENAKMEN 5 TAHUN 1990
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1990

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERKAHWINAN



Seksyen 27. Perlantikan Ketua Pendaftar, Timbalan Pendaftar, Penolong Pendaftar, Pendaftar-Pendaftar serta Jurunikah Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk bagi Orang-orang Islam.

(1) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh melantik mana-mana Orang Islam yang bermazhab Shafie yang berkelayakan untuk menjadi Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang-orang Islam bagi maksud Enakmen ini, yang mana adalah berkuasa menjalankan penyeliaan dan kawalan ke atas Pendaftar-Pendaftar dan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk di bawah Enakmen ini.

(2) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh melantik beberapa Orang Islam bermazhab Shafie yang berkelayakan sebagaimana yang perlu untuk menjadi Pendaftar, Timbalan Pendaftar atau Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang-orang Islam bagi maksud Enakmen ini.

(3) Kadi Besar, Timbalan Kadi Besar dan Penolong Kadi Besar bagi negeri dan Kadi-Kadi bagi daerah hendaklah menjadi Jurunikah dan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Orang-orang Islam dengan sebab jawatannya bagi semua kawasan yang di dalamnya mereka itu mempunyai bidang kuasa mengikut peruntukan di dalam Enakmen ini. [Telah dimansuh (Pindaan 1994)]

(4) Ketua Pendaftar, Timbalan Pendaftar, Pendaftar-pendaftar daerah yang disebutkan di dalam subseksyen (1) dan (2) seksyen ini hendaklah berkuasa dan mempunyai hak-hak padanya dan hendaklah menjalankan kewajipannya mengikut kehendak yang diberi oleh Enakmen ini atau oleh mana-mana kaedah yang diperbuat di bawah Enakmen ini.

(5) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik mana-mana Pegawai Diplomatik Malaysia yang beragama Islam di mana-mana negara untuk menjadi Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang-orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini di negara itu.

(6) Tiap-tiap orang yang dilantik di bawah subseksyen (1) dan (2) yang bukan pegawai awam hendaklah disifatkan sebagai pegawai awam bagi maksud-maksud Kanun Keseksaan.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.