ENAKMEN 3 TAHUN 1994
ENAKMEN KETERANGAN (MAHKAMAH SYARIAH) 1994
BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN NATIJAH KETERANGAN
BAB VIII - PEMERIKSAAN SAKSI
Seksyen 110. Ketakmasukan keterangan bagi menyangkal jawapan kepada soalan yang menguji kebenaran.
Apabila seseorang saksi telah ditanya dan telah menjawab apa-apa soalan yang hanya relevan dengan siasatan itu setakat ia boleh melemahkan kebolehpercayaan saksi itu dengan mencemarkan sifat perangainya, maka tiada keterangan boleh diberi bagi menyangkalnya; tetapi jika dia menjawab dengan bohong dia bolehlah kemudiannya dipertuduhkan kerana memberi keterangan palsu.
Kecualian 1
-
Jika seseorang saksi ditanya sama ada dia pernah disabitkan atas apa-apa kesalahan dan dia menafikannya, keterangan bolehlah diberi mengenai sabitan yang terdahulu itu.
Kecualian
2 - Jika seseorang saksi ditanya apa-apa soalan yang boleh mencabar kesaksamaannya dan dia menjawabnya dengan menafikan fakta yang dikatakan itu, maka dia bolehlah disangkal.
MISALAN
(a)
Seorang saksi ditanya sama ada dia telah dibuang kerja kerana kecurangan. Dia menafikannya.
Keterangan dicadangkan hendak diberi bagi menunjukkan bahawa dia telah dibuang kerja kerana kecurangan. Keterangan itu tidak boleh diterima.
(b)
A mendakwa bahawa pada suatu hari yang tertentu dia telah melihat B di Bagan Datoh. A adalah ditanya sama ada dia sendiri telah berada pada hari itu di Gerik. Dia menafikannya.
Keterangan dicadangkan hendak diberi bagi menunjukkan yang A telah berada di Gerik pada hari itu.
Keterangan itu bolehlah diterima, bukan sebagai menyangkal A atas suatu fakta yang menyentuh kebolehpercayaannya, tetapi sebagai menyangkal fakta dikatakan itu bahawa B telah dilihat di Bagan Datoh pada hari tersebut.
(c)
A yang memberi keterangan terhadap B, ditanya sama ada dia pernah berkata bahawa dia akan membalas dendam ke atas B. Dia menafikannya.
Dia boleh disangkal atas alasan bahawa soalan itu boleh mencabar kesaksamaannya.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.