ENAKMEN 1 TAHUN 1984
ENAKMEN KELUARGA ISLAM 1979
BAHAGIAN II - PERNIKAHAN
Seksyen 17. Poligami.
(1) Tiada seorang lelaki boleh bernikah dengan seorang lain di mana-mana tempat sama ada di dalam atau di luar Negeri dalam masa ia masih beristerikan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada kecuali dengan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran secara bertulis dari Mahkamah dan jika ia bernikah sedemikian tanpa kebenaran tersebut, pernikahan itu tidak boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini.
(2) Permohonan untuk kebenaran itu hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut borang yang ditetapkan bersama dengan bayaran yang ditetapkan, dan disertai dengan suatu ikrar menyatakan alasan-alasan mengapa pernikahan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir kewajipan dan tanggungan kewangannya yang dapat ditentukan dan bilangan orang-orang tanggungannya yang termasuk mereka yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan pernikahan yang dicadangkan itu.
(3)
(i) Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah boleh memanggil pemohon dan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada supaya hadir apabila permohonan itu didengar dan Mahkamah boleh membenarkan permohonan itu jika berpuashati bahawa pernikahan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu dalam masa pemohon itu masih beristerikan isterinya atau isteri-isterinya yang sedia ada.
(ii) Dalam menentukan kebenaran yang akan diberi Mahkamah hendaklah berpandukan kepada semua perkara yang tersebut di bawah ini --
(
a
) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan ia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan pernikahan yang dicadangkan itu;
(
b
)
bahawa ia akan berupaya memberi layanan samarata, kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak;
(
c
)
bahawa pernikahan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarii' kepada isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada; dan
(
d
)
bahawa pernikahan yang dicadangkan itu tidak akan merendahkan secara langsung atau tidak taraf kehidupan yang telah dinikmati atau yang dijangka dengan menasabah akan dinikmati oleh isteri atau isteri-isterinya dan orang-orang tanggungannya yang sedia ada sekiranya pernikahan yang dicadangkan itu tidak berlaku.
(4) Perbicaraan di bawah seksyen-kecil (3) hendaklah dijalankan di dalam Mahkamah tertutup.
(5) Mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah boleh, mengikut aturcara yang ditetapkan dalam Enakmen Mahkamah Syariah 1979, merayu terhadap keputusan Mahkamah itu kepada Mahkamah Rayuan dan keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah muktamat dan tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana Mahkamah lain.
(6) Seorang yang bernikah bersalahan dengan seksyen-kecil (1) hendaklah membayar dengan serta merta semua jumlah maskahwin dan mengembalikan semua pemberian yang kena dikembalikan kepada isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada, dan jumlah itu, jika tidak dibayar sedemikian, hendaklah disifatkan sebagai hutangnya kepada isteri atau isteri-isterinya.
(7) Aturcara bagi pernikahan dan pendaftaran suatu pernikahan di bawah seksyen ini adalah sama dengan aturcara yang dipakai bagi suatu pernikahan yang dinikah dan didaftarkan dalam Negeri di bawah Enakmen ini.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.