ENAKMEN 4 TAHUN 1997
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH 1997

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"baligh" ertinya sudah cukup umur mengikut Hukum Syarak;

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam, 1978 bagi Negeri Johor;

"fatwa" ertinya mana-mana fatwa yang dibuat di bawah seksyen 16 Enakmen Pentadbiran;

"Hakim" ertinya Ketua Hakim Syariah, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah yang dilantik masing-masing di bawah seksyen 6 dan 7 Enakmen Mahkamah Syariah, 1993;

"Hukum Syarak" ertinya Hukum Syarak mengikut mana-mana mazhab yang diiktiraf;

"Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak" ertinya Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak yang ditubuhkan di bawah Seksyen 125 (2) Enakmen Pentadbiran;

"
li'an" ertinya sesuatu pengataan yang dibuat oleh seseorang lelaki dengan bersumpah mengikut Hukum Syarak bahawa isterinya telah melakukan zina;

"liwat" ertinya perhubungan seks sesama lelaki;

"Mahkamah" ertinya Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rayuan Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah seksyen 5 Enakmen Mahkamah Syariah, 1993;

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam Negeri Johor yang ditubuhkan di bawah seksyen 4 (1) Enakmen Pentadbiran;

"Mufti" ertinya orang yang dilantik menjadi Mufti bagi Negeri Johor di bawah seksyen 14 Enakmen Pentadbiran, dan termasuklah Timbalan Mufti;

"muncikari" ertinya seseorang yang bertindak sebagai orang tengah antara seorang perempuan dengan seorang lelaki bagi apa-apa maksud yang menyalahi Hukum Syarak;

"
musahaqah" ertinya perhubungan jenis sesama perempuan;

"pusat pemulihan diluluskan" ertinya mana-mana tempat atau institusi yang ditetapkan sebagai sedemikian di bawah seksyen 54;

"
qazaf" ertinya membuat pengataan palsu terhadap mana-mana orang;

"rumah diluluskan" ertinya mana-mana tempat atau institusi ditetapkan sebagai sedemikian di bawah seksyen 54;

"sumbang
mahram" ertinya persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang dilarang mengahwini satu sama lain di bawah Hukum Syarak;

"
takfir" ertinya menganggap seseorang orang Islam sebagai orang bukan Islam;

"
zina" ertinya persetubuhan antara lelaki dengan perempuan tanpa nikah.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta-Akta Tafsiran 1948 dan 1967 hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya masing-masing dalam Akta-Akta itu setakat yang erti sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang sifat atau tafsiran perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.