ENAKMEN 9 TAHUN 1988
ENAKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH 1988

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang berlainan :

"Jenayah" ertinya jenayah syariah;

"Kadi" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya di bawah seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah 1983;

"Kerajaan" mempunyai erti yang sama diberi kepadanya dalam Undang-undang Pentadbiran Agama Islam 1962;

"Liwat" ertinya perhubungan jenis di antara lelaki dengan lelaki atau di antara lelaki dengan perempuan di luar tabiat;

"Mahkamah" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya di bawah seksyen 2 Enakmen Mahkamah Syariah 1983;

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darulaman yang ditubuhkan menurut seksyen 4 Undang-undang Pentadbiran Agama Islam 1962;

"Muqaddimah zina" ertinya perbuatan-perbuatan atau perkataan-perkataan di antara lelaki dan perempuan yang mendorong kepada perzinaan;

"Munsyikari" ertinya seorang yang menjalankan pekerjaan sebagai orang tengah di antara seseorang perempuan dengan seseorang lelaki bagi tujuan-tujuan yang menyalahi hukum syarak;

"Musahaqah" ertinya perhubungan jenis di antara perempuan dengan perempuan;

"Negeri" ertinya Negeri Kedah Darulaman;

"Penyelia Agama" ertinya penyelia bagi guru kelas Al-Quran dan Tajwid;

"Pegawai Masjid" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Undang-undang Pentadbiran Agama Islam 1962;

"Perempuan bersuami" ertinya seseorang perempuan yang telah bernikah dan ia masih di dalam nikahnya lagi;

"Persetubuhan syubhah" ertinya persetubuhan di antara seorang lelaki dan seorang perempuan dengan anggapan bahawa mereka adalah suami isteri yang sah tetapi ternyata kemudiannya bahawa mereka bukan suami isteri yang sah mengikut hukum syarak;

"Pendaftar Sekolah-sekolah Agama" ertinya Pendaftar yang dilantik di bawah seksyen 3 Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1988;

"Sumbang" ertinya perbuatan atau siri perbuatan yang dianggap bertentangan dengan Hukum Syarak di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang ditegah berkahwin;

"Takfir" ertinya mengkafirkan orang Islam;

"Zina" ertinya persetubuhan haram di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang bukan suami isteri.

(2) Semua perkataan, perbahasaan, takrifan dan rangkaikata yang digunakan di dalam Enakmen ini tetapi tidak ditakrifkan dengan tertentu di dalamnya maka tidaklah disifatkan mempunyai erti yang diberi padanya dalam Akta Tafsiran 1967.

(3) Jika timbul sebarang persoalan atau pertikaian dalam mentafsir sesuatu perkataan, perbahasaan atau rangkaikata mengenai Hukum Syarak maka adalah dalam bidangkuasa Mahkamah yang membicarakannya itu untuk memberi takrifan kepada perkataan, perbahasaan atau rangkaikata sedemikian itu.

(4) Kesalahan-kesalahan yang terdapat di dalam Enakmen ini tidak sahaja termasuk tindakan-tindakan yang dilakukan tetapi juga ketinggalan yang menyalahi undang-undang.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.