ENAKMEN 7 TAHUN 2004
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 2004
BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB 4 - PERUNTUKAN KHAS YANG BERHUBUNGAN DENGAN KETERANGAN
Seksyen 194. Laporan orang tertentu
(1) Apa-apa dokumen yang berupa sebagai suatu laporan di bawah tandatangan mana-mana orang yang disebut dalam subseksyen (2) mengenai mana-mana orang, perkara atau benda yang telah diperiksa atau dianalisis olehnya atau apaapa dokumen yang berupa sebagai suatu laporan di bawah tandatangan Pendaftar Penjenayah apa-apa perkara atau benda yang berhubungan dengan cap jari yang telah diserahkan kepadanya untuk laporan boleh diberikan sebagai keterangan dalam apa-apa perbicaraan atau prosiding lain di bawah Enakmen ini melainkan jika orang itu atau Pendaftar itu dikehendaki hadir sebagai seorang saksi—
(a)
oleh Mahkamah; atau
(b)
oleh tertuduh, dan dalam hal itu tertuduh hendaklah memberikan notis kepada Pendakwa tidak kurang daripada tiga hari genap sebelum perbicaraan dimulakan:
Dengan syarat bahawa dalam mana-mana kes apabila Pendakwa Syarie berniat untuk memberikan sebagaiketerangan mana-mana laporan sedemikian, dia hendaklah menyerahkan suatu salinan laporan itu kepada tertuduh tidak kurang daripada sepuluh hari genap sebelum perbicaraan dimulakan.
(2) Yang berikut ialah orang yang baginya peruntukan seksyen ini terpakai:
(a)
pegawai Institut Penyelidikan Perubatan;
(b)
pegawai perubatan Kerajaan;
(c)
ahli kimia yang dalam penggajian Kerajaan Malaysia;
(d)
mana-mana orang yang dilantik oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam
Warta
sebagai Pemeriksa Dokumen;
(e)
Merinyu Timbang dan Sukat yang dilantik sedemikian di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan timbang dan sukat yang berkuat kuasa di Malaysia; dan
(f)
mana-mana orang atau golongan orang yang baginya Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan melalui pemberitahuan dalam
Warta
bahawa peruntukan seksyen ini hendaklah terpakai.
(3) Orang yang disebut dalam subseksyen (2) dan Pendaftar Penjenayah adalah melalui Enakmen ini terikat untuk menyatakan yang benar dalam laporan yang dibuat di bawah tandatangan mereka.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.