ENAKMEN 9 TAHUN 1991
KAWALAN DAN SEKATAN (PENGEMBANGAN AGAMA-AGAMA BUKAN ISLAM DI KALANGAN ORANG ISLAM) (NEGERI SEMBILAN) 1991

BAHAGIAN III - PENGUATKUASAAN DAN PELBAGAI



Seksyen 15. Pengendalian pendakwaan.

(1) Tanpa prejudis kepada Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, setiap pegawai diberikuasa atau mana-mana pegawai polis berpangkat tidak rendah daripada Inspektor hendaklah mempunyai kuasa untuk hadir di mana-mana mahkamah dan mengendalikan mana-mana pendakwaan berkaitan dengan mana-mana kesalahan di bawah Enakmen ini.

(2) Sesuatu pendakwaan di bawah Enakmen ini tidak boleh dibawa kecuali dengan sanksi Pendakwa Raya:

Dengan syarat bahawa orang yang dipertuduhkan atas sesuatu kesalahan itu boleh ditangkap, atau suatu waran untuk menangkapnya boleh dikeluarkan dan dilaksanakan, dan seorang yang ditangkap sedemikian boleh ditahan dalam jagaan atau dibenarkan jamin, walaupun sanksi Pendakwa Raya tentang hal membawa pendakwaan atas kesalahan itu belum didapati, tetapi kes itu tidak boleh didakwa selanjutnya sehingga sanksi itu telah didapati.

(3) Apabila seorang dibawa di hadapan mahkamah di bawah seksyen ini sebelum Pendakwa Raya memberi sanksinya terhadap pendakwaan itu, pertuduhan itu hendaklah dijelaskan kepadanya tetapi ia hendaklah tidak boleh dipanggil untuk membuat pengakuan; dan peruntukan-peruntukan undang-undang yang pada masa ini berkuatkuasa berkaitan dengan acara jenayah hendaklah diubahsuai dengan sewajarnya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.