ENAKMEN 5 TAHUN 1990
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1990

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang berlainan-

"anak dara" ertinya seorang perempuan yang belum pernah berkahwin atau bersetubuh mengikut Hukum Syarak;

"balu" ertinya perempuan yang suaminya telah mati;

"bermastautin" ertinya tinggal tetap atau pada lazimnya tinggal dalam sesuatu kawasan yang tertentu;

"persekedudukan semula" ertinya berbaik semula sebagai suami isteri dalam tempoh sebelum penceraian menjadi tidak boleh dirujuk;

"darar syar'i" ertinya bahaya menyentuh ke atas isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, kehormatan dan maruah, akal fikiran atau harta benda mengikut kebiasaannya yang diakui oleh Hukum Syarak;

"duda" ertinya lelaki yang isterinya telah mati;

"Enakmen" ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1978;

"fasakh" ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syarak mengikut seksyen 52;

"Hakim Syar'i" ertinya seorang Kadi yang dilantik di bawah seksyen 57 Enakmen yang termasuk Kadi Besar;

"Hukum Syarak" ertinya Undang-undang Islam mengikut peruntukan seksyen 142 (3) Enakmen;

"harta sepencarian" ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;

"Iddah" ertinya tempoh atau masa bagi seseorang perempuan ditegah oleh Hukum Syarak ianya bernikah;

"Istilak" ertinya Perintah atau Pengelolaan dari orang Islam mengikut Hukum Syarak;

"janda" ertinya seorang perempuan yang telah bercerai sama ada telah bersetubuh atau belum;

"Jurunikah" ertinya seseorang yang dilantik mengikut seksyen 27 (3) untuk menjalankan sesuatu akad nikah di bawah Enakmen ini;

"Ketua Pendaftar" ertinya seorang Ketua Pendaftar Perkahwinan Perceraian dan Rujuk Orang-orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 27;

"Ketua Pendakwa Syar'i" ertinya mana-mana pegawai yang dilantik dan diberi kuasa untuk menentukan semua tindakan pendakwaan dalam mana-mana Mahkamah menurut peruntukan Enakmen ini;

"Kitabiah" ertinya
"Mahkamah" ertinya Mahkamah Syariah iaitu Mahkamah Kadi atau Mahkamah Rayuan menurut mana-mana yang berkenaan;

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam Negeri Johor yang ditubuhkan di bawah seksyen 4 Enakmen;

"mas kahwin" ertinya sesuatu yang wajib diberi oleh suami kepada isteri disebabkan akad nikah yang sah;

"mut'ah" ertinya pemberian yang wajib oleh suami kepada jandanya kerana bercerai;

"murtad" ertinya seorang yang keluar daripada agama Islam dengannya melakukan sesuatu perkataan, perbuatan atau kerana Iktikad yang tertentu menyalahi Hukum Syarak;

"nasab" ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah;

"nafkah" ertinya perbelanjaan yang wajib mengenai makanan, pakaian dan tempat tinggal bagi isteri, anak-anak janda dan orang-orang lain di bawah tanggungan seorang suami atau bekas suami mengikut Hukum Syarak;

"orang Islam" ertinya orang yang berketurunan daripada kedua atau salah seorang ibu bapanya orang Islam atau orang yang telah memeluk agama Islam di bawah Enakmen dan tidak pula membuat pengistiharan keluar daripada agama Islam atau dengan Hukum Istilak menurut Hukum Syarak;

"pemberian" ertinya pemberian yang berupa wang tunai atau harta benda yang diberi oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan;

"Pendaftar" ertinya seorang Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang-orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 27 dan termasuk Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar;

"persetubuhan Syubhah" ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad nikah itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam;

"rujuk" ertinya kembali semula suami isteri yang telah bercerai kepada nikahnya yang dahulu mengikut Hukum Syarak;

"sesusuan" ertinya penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungnya sekurang-kurangnya sebanyak lima kali yang mengenyangkan dalam masa umurnya dua tahun ke bawah;

"talaq" ertinya cerai mengikut Hukum Syarak;

"talaq raj'i" ertinya penceraian dengan satu atau dua talak yang tidak diikuti dengan habis iddah;

"ta'liq" ertinya ikrar perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak;

"tebus talaq" ertinya memutuskan nikah dengan bayaran oleh isteri kepada suami dengan persetujuan kedua-dua pihak;

"tidak sah taraf" ertinya anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan dari anak persetubuhan syubhah;

"thayyib" ertinya perempuan yang pernah bersetubuh mengikut Hukum Syarak;

"wali" ertinya seorang yang berhak menurut Hukum Syarak mengakadnikahkan seorang perempuan;

"wali Hakim" ertinya wali yang ditauliahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk menikahkan perempuan yang tidak mempunyai wali.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan di dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan di dalam ini tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1967 [23/67] hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya masing-masing oleh Akta itu.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada bentuk skrip Bahasa Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

(4) Raja dalam Mesyuarat boleh dari semasa ke semasa meminda, memotong daripada atau menambah kepada Jadual itu.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.