ENAKMEN 3 TAHUN 1982
ENAKMEN PENTADBIRAN MAHKAMAH SYARIAH 1982

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang berlainan:

"alang hayat" ertinya pemberian percuma atau pindah milek harta oleh seseorang dalam masa hayat kepada sesiapa yang dia kehendaki;

"bermastautin" ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya tinggal ditempat kediaman secara tetap dalam kawasan tertentu;

"bermukim" ertinya tinggal sementara dalam sesuatu kawasan tertentu;

"dom" ertinya harta kepunyaan seseorang suami atau isteri selain daripada harta yang diperolehi dengan usaha atau modal bersama;

"fasakh" ertinya pembatalan nikah disebabkan oleh suatu kejadian yang diharuskan oleh Hukum Syarak;

"harta" ertinya semua harta alih dan tak alih termasuklah wang, kepentingan, aset dan hak-hak kepunyaan yang lain;

"ila" ertinya sumpah dengan nama Allah yang dilafazkan oleh seseorang suami bahawa ia tidak akan melakukan persetubuhan dengan isterinya dengan tidak menyebut tempoh atau bagi tempoh lebih daripada empat bulan;

"Kerajaan" ertinya Kerajaan Negeri Kelantan;

"Ketua Penyelia" ertinya Ketua Penyelia Ugama dan termasuk Penyelia Ugama yang dilantik menurut seksyen 7 (1) (b);

"khuluk" ertinya satu cara perceraian dengan membuat bayaran tertentu kepada suami disertakan dengan lafaz ijab kabul membatalkan perkahwinan;

"lian" ertinya kata-kata tuduhan diucapkan oleh suami menuduh isterinya melakukan perbuatan zina;

"Mahkamah" ertinya Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Qadhi Besar, Mahkamah Qadhi Khas atau Mahkamah Qadhi Jajahan;

"Mahkamah Rayuan Syariah" ertinya Mahkamah Rayuan yang ditubuhkan di bawah seksyen 8 (1) (a);

"Majlis" ertinya Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan; yang ditubuhkan di bawah seksyen 4, Enakmen Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1966 [2/1966] , atau mana-mana undang-undang bertulis;

"Mufti" ertinya Mufti Kerajaan dan termasuk Timbalan Mufti Kerajaan yang dilantik di bawah seksyen 6;

"nafkah" ertinya perbelanjaan yang wajib mengikut Hukum Syarak bagi isteri, anak, perempuan dalam edah dan orang yang uzur;

"nasab" ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah menurut Hukum Syarak;

"Negeri" ertinya Negeri Kelantan;

"peguam" ertinya seseorang Peguam Syarie atau mana-mana peguambela dan peguamcara yang mempunyai sijil amalan yang sah yang dikeluarkan di bawah Akta Profession Undang-Undang 1976 dan termasuk mana-mana pegawai yang dilantik di bawah Akta Bantuan Guaman 1971 atau mana-mana pegawai yang dilantik oleh pihak berkuasa negeri;

"Peguam Syarie" ertinya seseorang Peguam yang telah diberi surat kuasa oleh Qadhi Besar menurut seksyen 18;

"Pendaftar" ertinya seorang Pendaftar yang dilantik menurut seksyen 7 (1) (d);

"Pendakwa" ertinya Pendakwa Syarie dan termasuk Timbalan Pendakwa Syarie yang dilantik menurut seksyen 7 (1) (c);

"Penyelia Ugama" ertinya Penyelia Ugama yang dilantik menurut seksyen 7 (1) (b) dan termasuklah Ketua Penyelia Ugama, Penolong Penyelia Ugama dan Pembantu Penyelia Ugama;

"Qadhi" ertinya Qadhi Jajahan dan termasuk Qadhi Besar dan Qadhi Khas yang dilantik menurut seksyen 7 (1) (a);

"Qadhi Besar" ertinya Qadhi Besar bagi Negeri Kelantan dan termasuk Timbalan Qadhi Besar yang dilantik menurut seksyen 7 (1) (a);

"sepencarian" ertinya harta yang diperolehi oleh suami isteri dari usaha modal bersama;

"taliq" ertinya lafaz yang dibuat oleh seseorang suami yang mengakibatkan jatuhnya talaq terhadap isteri apabila berlakunya sesuatu perkara atau perbuatan.

(2) Semua perkataan, perbahasaan, takrifan dan rangkaikata yang digunakan di dalam Enakmen ini tidak ditakrifkan dengan tertentu maka takrifan dalam Akta Tafsiran 1967 [Akta 23/67] hendaklah dipakai.

(3) Melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang lain apa-apa rujukan dalam Enakmen ini mengenai sesuatu Bahagian atau Seksyen tertentu hendaklah diertikan kepada Bahagian atau Seksyen tertentu dalam Enakmen ini.

(4) Jika timbul sebarang persoalan atau pertikaian dalam mentafsir sesuatu perkataan, perbahasaan atau rangkaikata mengenai Hukum Syarak maka adalah dalam bidangkuasa Mahkamah yang membicarakan kes itu untuk memberi takrifan kepada perkataan, perbahasaan atau rangkaikata sedemikian itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.