ENAKMEN 6 TAHUN 2004
ENAKMEN KELUARGA ISLAM (PERAK) 2004
BAHAGIAN VII - PENJAGAAN
Relif-Relief Lain
Seksyen 106. Kuasa Mahkamah untuk membatalkan dan menahan perpindahan yang dimaksudkan untuk mengecewakan tuntutan nafkah
(1) Jika-
(a) sesuatu perbicaraan hal ehwal suami isteri belum selesai di Mahkamah;
(b) sesuatu perintah telah dibuat di bawah seksyen 58, 60 atau 74 dan belum lagi dibatalkan; atau
(c) nafkah kena dibayar di bawah sesuatu perjanjian kepada atau untuk manfaat seorang isteri atau belas isteri atau anak,
Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan-
(aa) jika Mahkamah berpuas hati bahawa apa-apa perpindahan harta telah dilakukan oleh suami atau bekas suami atau ibu atau bapa orang yang telah membuat atau yang bagi pihaknya permohonan itu dibuat, dalam masa tiga tahun sebelumnya, dengan tujuan di pihak orang yang melakukan perpindahan itu hendak mengurangkan kemampuannya membayar nafkah atau kemampuan suami itu membayar
mut'ah
atau hendak menghalangi isterinya daripada apa-apa hak berhubung dengan harta itu, tertakluk kepada subseksyen (2), menghendaki orang yang berbuat perpindahan itu membatalkan perpindahan itu; dan
(bb) jika Mahkamah berpuas hati bahawa apa-apa perpindahan harta dicadangkan hendak dilakukan dengan apa-apa tujuan yang demikian, memberi suatu injunksi menegah perpindahan itu.
(2) Bagi maksud seksyen ini-
'harta" ertinya apa-apa jenis harta, alih atau tak alih, dan termasuklah wang;
"perpindahan" termasuklah sesuatu penjualan, pemberian, pajakan, gadai janji, atau apa-apa transaksi lain yang dengannya pemunyaan atau pemilikan harta itu dipindahmilikkan atau dibebankan tetapi tidak termasuk suatu perpindahan yang dilakukan kerana wang atau sesuatu bernilai wang kepada atau untuk faedah seseorang yang bertindak dengan suci hati dan dengan tidak mengetahui tujuan perpindahan itu dilakukan.
(3) Kegagalan mematuhi suatu perintah yang dibuat di bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan Mahkamah.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.