ENAKMEN 15 TAHUN 1992
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1992

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"anak dara" ertinya seorang perempuan yang belum bersetubuh, sama ada sudah berkahwin atau belum;

"balu" ertinya perempuan yang suaminya telah mati;

"bermastautin" ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya tinggal dalam sesuatu kawasan yang tertentu;

"darar syarie" ertinya bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau hartabenda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak;

"duda" ertinya lelaki yang isterinya telah mati.

"fasakh" ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syarak mengikut seksyen 53;

"Hakim Syarie" ertinya seorang Hakim yang dilantik di bawah seksyen 6 Enakmen Mahkamah Syariah 1992 dan termasuk Ketua Hakim Syarie;

"harta sepencarian" ertinya harta yang diperolehi bersama suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;

"Hukum Syarak" ertinya undang-undang Islam dalam mana-mana mazhab yang sah;

"janda" ertinya perempuan yang telah bernikah dan diceraikan setelah bersetubuh;

"Ketua Pendaftar" ertinya Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28;

"Kitabiyah" ertinya-

"Mahkamah" ertinya Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rayuan Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah Enakmen Mahkamah Syariah 1992;

"majikan" ertinya seorang yang olehnya, sebagai seorang prinsipal dan bukan sebagai seorang penjawat atau ejen, pendapatan tenaga yang terkena dibayar kepada seseorang pihak kena tuntut, dan rujukan kepada pembayaran pendapatan tenaga hendaklah diertikan dengan sewajarnya;

"Majlis" mempunyai erti yang sama seperti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992;

"mas kahwin" ertinya pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang, menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang;

"mu'tah" ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan;

"nasab" ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah;

"orang Islam; mempunyai erti yang sama seperti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992;

"Peguam Syarie" hendaklah mempunyai erti yang sama seperti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah Syariah 1992;

"Pendaftar" ertinya seorang Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28, dan termasuk Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar;

"Pengerusi" mempunyai erti yang sama seperti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992;

"perintah tahanan pendapatan-tenaga" ertinya sesuatu perintah yang dibuat di bawah seksyen 83;

"persetubuhan syubhah" ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas salah anggapan bahawa akad nikah itu adalah sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Hadd dalam Islam;

"ruju" ertinya perkembalian kepada nikah yang asal;

"sesusuan" ertinya penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungnya sekurang-kurangnya sebanyak lima kali yang mengenyangkan dalam masa umurnya dua tahun ke bawah;

"ta'liq" ertinya lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan peruntukan Enakmen ini;

"tak sah taraf", berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah;

"tarikh ditetapkan" ertinya tarikh yang ditetapkan di bawah seksyen 1 (2) untuk mula berkuatkuasanya Enakmen ini;

"thayyib" ertinya perempuan yang pernah bersetubuh;

"wali Hakim" ertinya wali yang ditauliahkan di bawah seksyen 7(3);

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan di dalam Enakmen dan tidak ditakrifkan di dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Enakmen Tafsiran dan Fasal-Fasal Am 1963 [En. 34/63] hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya masing-masing setakat yang erti-erti itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada bentuk skrip bahasa Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya di dalamnya.

(4) Yang di-Pertua Negeri boleh dari semasa ke semasa meminda, memotong darinya atau menambah kepada Jadual itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.