ENAKMEN 5 TAHUN 2004
ENAKMEN WASIAT ORANG ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2004

BAHAGIAN V - PENERIMAAN DAN PENOLAKAN WASIAT



Seksyen 17. Penerimaan dan penolakan wasiat.

(1) Sesuatu wasiat hendaklah berkuat kuasa apabila diterima oleh benefisiari, sama ada dengan penerimaan nyata atau tersirat, selepas kematian pewasiat.

(2) Jika benefisiari ialah seorang kanak-kanak yang belum cukup umur menurut Hukum Syarak, atau seseorang yang dilarang daripada menguruskan hartanya penerimaannya atau penolakannya hendaklah disempurnakan oleh wali hartanya.

(3) Jika benefisiari ialah anak dalam kandungan, penerimaannya atau penolakannya hendaklah disempurnakan oleh wali hartanya:

Dengan syarat bahawa anak dalam kandungan itu dilahirkan hidup.

(4) Jika benefisiari ialah suatu pertubuhan perbadanan, penerimaannya atau penolakannya hendaklah disempurnakan oleh wakil sah pertubuhan perbadanan itu.

(5) Jika sesuatu wasiat telah dibuat kepada kumpulan orang yang tidak diperbadankan, penerimaannya atau penolakannya tidaklah diperlukan, dan wasiat itu hendaklah dibahagikan kepada sekurang-kurangnya tiga orang daripada kumpulan orang itu.

(6) Jika seseorang benefisiari mati sebelum dia sempat menerima atau menolak wasiat, waris-warisnya hendaklah menentukan sama ada hendak menerima atau menolak wasiat itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.