ENAKMEN 5 TAHUN 1996
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996
BAHAGIAN II - PEMBUKTIAN
BAB 5 - KETERANGAN DOKUMENTAR
Seksyen 50. Keterangan sekunder.
Keterangan sekunder termasuklah-
(a)
salinan diperakui yang diberikan menurut peruntukan-peruntukan yang terkandung kemudian daripada ini;
(b)
salinan yang dibuat daripada naskah asal melalui proses mekanikal, yang sendirinya memastikan ketepatan salinan itu, dan juga salinan yang dibandingkan dengan salinan itu;
(c)
salinan yang dibuat daripada atau yang dibandingkan dengan naskah asal;
(d)
kaunterpart dokumen terhadap pihak yang tidak menyempurnakannya;
(e)
keterangan lisan mengenai kandungan sesuatu dokumen yang diberikan oleh seseorang yang telah melihat atau mendengar sendiri dokumen itu atau menganggapinya dengan apa jua cara.
MISALAN
(a)
Fotograf dokumen asal adalah keterangan sekunder mengenai kandungannya, walaupun fotograf dan dokumen asal itu tidak dibandingkan, jika dibuktikan bahawa benda yang telah difotograf itu adalah dokumen asal.
(b)
Salinan yang telah dibandingkan dengan salinan surat yang telah dibuat melalui mesin penyalin adalah keterangan sekunder mengenai kandungan surat itu sekiranya dibuktikan bahawa salinan yang dibuat daripada mesin penyalin itu telah dibuat dari dokumen asal.
(c)
Salinan yang disalin daripada suatu salinan tetapi kemudiannya dibandingkan dengan dokumen asal adalah keterangan sekunder tetapi salinan yang tidak dibandingkan sedemikian itu bukanlah keterangan sekunder mengenai dokumen asal, walaupun salinan yang daripadanya ia disalin telah dibandingkan dengan dokumen asal.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.