ENAKMEN 8 TAHUN 1982
ENAKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG 1982

BAHAGIAN XI - ACARA DALAM PEMBICARAAN MAL



Seksyen 224. Menjalankan hukuman dan perintah.


(1) Jika sesiapa yang telah terikat dengan sesuatu hukuman atau perintah Mahkamah tidak mematuhinya dalam tempoh masa yang difikirkan manasabah oleh Mahkamah itu, maka Mahkamah itu, di atas permohonan sesiapa yang berhak mendapat faedah dari hukuman atau perintah itu atau dengan kehendak Mahkamah itu sendiri, boleh menghantar satu salinan hukuman atau perintah itu yang diakui sah kepada mana-mana Mahkamah Majistret yang mempunyai bidangkuasa ditempat mana Mahkamah yang membuat atau memberi hukuman atau perintah berada, bersama dengan satu permintaan kepada Majistret itu, bahawa hukuman atau perintah itu boleh dijalankan, dan dengan itu maka sahlah bagi Mahkamah Majistret itu menjalankan hukuman atau perintah itu dan seterusnya boleh menggunakan semua kuasa tambahnya termasuklah kuasa-kuasa menangkap dan mempenjarakan dan mengeluarkan saman hukuman si penghitung dengan serupa cara sebagaimana yang Mahkamah itu boleh berbuat jika sekiranya hukuman atau perintah itu telah diberi atau dibuat olehnya sendiri.

Dengan syarat bahawa, jika banyaknya yang mesti dibayar mengikut hukuman atau perintah itu atau nilai hal perkara yang berkenaan itu lebih daripada sepuloh ribu ringgit, maka peruntukan di atas hendaklah dibaca seolah-olah perkataan 'Mahkamah Seksyen' dan 'Yang di-Pertua', menggantikan perkataan-perkataan 'Mahkamah Majistret' dan 'Majistret'.

(2) Mahkamah Kadi Besar untuk menjalankan hukuman dan perintahnya hendaklah mempunyai semua kuasa-kuasa dan kewajipan-kewajipan sebagaimana yang dikurniakan dan dikenakan ke atas Majistret-Majistret dalam menjalankan hukuman-hukuman dan perintah-perintahnya mengikut perintah-perintah yang berkaitan terdapat dalam peraturan-peraturan Mahkamah Rendah 1980 atau Peraturan-peraturan lain yang bersamaan sebagaimana yang akan berkuatkuasa dari masa ke semasa melainkan dikecualikan bahawa Mahkamah itu tidak akan mengeluarkan kuasa perlaksanaannya terhadap mana-mana harta takalih.

(3) Mahkamah Kadi bolehlah, untuk menggantikan acara di bawah seksyen-kecil (1), dalam keadaan dan cara yang serupa meminta Kadi Besar untuk menjalankan hukuman atau perintah Mahkamah itu dan dengan itu Kadi Besar boleh melaksanakannya dan boleh menggunakan semua kuasa-kuasa berkenaan dengan sebagaimana yang diberi kepada Mahkamah Majistret mengikut seksyen-kecil (1) pada seksyen ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.