ENAKMEN 7 TAHUN 2004
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 2004

BAHAGIAN V - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB 9 - DARIHAL PENGGANTUNGAN, PEREMITAN DAN PERINGANAN HUKUMAN



Seksyen 132. Kuasa untuk menggantung atau meremitkan hukuman

(1) Apabila mana-mana orang telah dihukum bagi suatu kesalahan, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Mufti boleh pada bila-bila masa, tanpa syarat, atau dengan apa-apa syarat yang diterima oleh orang yang dihukum itu, menggantung atau meremitkan pelaksanaan keseluruhan atau mana-mana bahagian hukuman itu.

(2) Bila mana suatu permohonan dibuat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi penggantungan atau peremitan suatu hukuman, Yang di-Pertuan Agong boleh menghendaki Hakim yang membuat sabitan itu supaya menyatakan pendapatnya tentang sama ada permohonan itu boleh dibenarkan atau ditolak dan Hakim itu hendaklah menyatakan pendapatnya dengan sewajarnya.

(3) Jika mana-mana syarat yang berdasarkannya suatu hukuman telah digantung atau diremitkan telah tidak, pada pendapat Yang di-Pertuan Agong, dipenuhi, Yang di-Pertuan Agong boleh membatalkan penggantungan atau peremitan itu; dan dengan itu orang yang bagi faedahnya hukuman itu telah digantung atau diremitkan boleh, jika dia telah dilepaskan, ditangkap oleh mana-mana Pegawai Polis atau Pegawai Penguatkuasa Agama tanpa waran dan ditahan oleh seorang Hakim untuk menjalani bahagian hukuman yang belum habis itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.