ENAKMEN 5 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI PULAU PINANG) 2004
BAHAGIAN II - PERKAHWINAN
Permulaan Kepada Perkahwinan
Seksyen 24. Akad nikah perkahwinan di Kedutaan-kedutaan Malaysia, dsb., di luar negeri.
(1) Tertakluk kepada subseksyen (2), perkahwinan boleh diakadnikahkan mengikut Hukum Syarak oleh Pendaftar yang dilantik di bawah subseksyen 28(3) di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul Malaysia di mana-mana negara yang telah tidak memberitahu Kerajaan Malaysia tentang bantahannya terhadap pengakadnikahan perkahwinan di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul itu.
(2) Sebelum mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini, Pendaftar hendaklah berpuashati—
(a)
bahawa satu atau kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu adalah pemastautin Negeri Pulau Pinang;
(b)
bahawa tiap-tiap satu pihak mempunyai keupayaan untuk berkahwin mengikut Hukum Syarak dan Enakmen ini; dan
(c)
bahawa jika salah satu pihak bukan pemastautin Negeri Pulau Pinang, perkahwinan yang dicadangkan itu jika diakadnikahkan, akan dikira sebagai sah di tempat di mana pihak itu bermastautin.
(3) Tatacara bagi akad nikah dan pendaftaran perkahwinan di bawah seksyen ini hendaklah serupa dalam semua perkara dengan yang dipakai bagi perkahwinan-perkahwinan lain yang diakadnikahkan dan didaftarkan dalam Negeri Pulau Pinang di bawah Enakmen ini seolah-olah Pendaftar yang dilantik untuk sesuatu negara asing adalah seorang Pendaftar untuk Negeri Pulau Pinang.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.