ENAKMEN 10 TAHUN 1993
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH 1993

BAHAGIAN VI - PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB XXII - PERUNTUKAN KHAS BERHUBUNG DENGAN KETERANGAN



Seksyen 188. Prosedur apabila orang yang boleh memberi keterangan mustahak sakit teruk.

(1) Apabila seseorang Hakim berpendapat bahawa seseorang yang boleh memberi keterangan yang material sama ada bagi pihak pendakwa atau pihak pembela berhubung dengan sesuatu kesalahan sedang sakit teruk dan tidak munasabah untuk mengambil keterangannya menurut perjalanan biasa undang-undang, Hakim boleh mengambil deposisi orang tersebut dengan syarat notis yang munasabah mengikut hal-keadaan kes itu telah diberi kepada pendakwa dan orang yang dituduh mengenai cadangan untuk mengambil keterangan itu dan mengenai masa dan tempat di mana Hakim itu bercadang untuk mengambilnya.

(2) Jika orang yang dituduh berada di dalam tahanan, Hakim boleh memerintahkan pegawai penguasa penjara menghantar orang yang dituduh itu ke tempat itu pada waktu yang telah ditetapkan dan pegawai tersebut hendaklah menghantarkannya seperti yang diperintahkan.

(3) Jika dibuktikan di dalam perbicaraan orang yang dituduh itu bahawa deponen yang disebutkan di bawah subseksyen (1) itu telah mati atau apa-apa sebab yang mencukupi kehadirannya tidak dapat diperolehi, keterangan itu boleh dibaca sama ada bagi atau terhadap orang yang dituduh, tanpa mengambil kira ketidakhadirannya bila keterangan itu telah diambil, sekiranya keterangan itu diperakui di bawah tandatangan Hakim yang mengambilnya, dan tidak dibuktikan sebaliknya oleh keterangan lain, bahawa deponen itu memang pada masa pemeriksaan itu sakit teruk sebagaimana yang telah disebut dan bahawa deposisi itu telah diberi di tempat dan masa yang diberitahu dan bahawa notis munasabah tentang cadangan untuk mengambilnya telah diberikan kepada orang terhadap siapa keterangan itu dikemukakan, supaya ia atau Peguam Syarienya boleh hadir dan boleh mendapat, jika memilih untuk hadir, peluang penuh untuk pemeriksaan balas.






Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.