ENAKMEN 7 TAHUN 1999
ENAKMEN WAKAF (NEGERI SELANGOR) 1999


JADUAL KEDUA
ENAKMEN WAKAF (NEGERI SELANGOR) 1999

JADUAL KEDUA

(Seksyen 31)

JAWATANKUASA PENGURUSAN WAKAF



1. Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Wakaf

(1) Jawatankuasa Pengurusan Wakaf hendaklah bermesyuarat sekurang-kurang empat kali setahun.

(2) Korum Jawatankuasa Pengurusan Wakaf ialah lima orang anggota.

(3) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan lain dalam Enakmen ini, Jawatankuasa Wakaf hendaklah menetapkan tatacaranya sendiri.


2. Kehadiran orang luar dalam mesyuarat.

Jawatankuasa Pengurusan Wakaf boleh mengundang mana-mana orang (yang bukan anggota Jawatankuasa) menghadiri mana-mana mesyuarat atau perbincangan Jawatankuasa Pengurusan Wakaf bagi maksud menasihatinya tentang apa-apa perkara yang dibincangkan tetapi mana-mana orang yang hadir sedemikian tidak berhak mengundi dalam mesyuarat.


3. Penzahiran kepentingan.

Seseorang anggota Jawatankuasa Pengurusan Wakaf yang secara langsung atau secara tidak langsung, mempunyai kepentingan sendiri atau melalui keluarga atau pekongsinya yang Jawatankuasa Pengurusan Wakaf bercadang hendak membuat suatu kontrak itu atau dalam apa-apa perkara yang dibincangkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Wakaf, hendaklah menzahirkan hakikat dan jenis kepentingannya itu kepada Jawatankuasa Pengurusa Wakaf, dan penzahiran itu hendaklah direkodkan dalam minit Jawatankuasa Pengurusan Wakaf dan anggota itu tidak boleh mengambil bahagian dalam perbincangan atau keputusan Jawatankuasa Pengurusan Wakaf yang berhubungan dengan kontrak atau perkara itu.

4. Jawatankuasa Pengurusan Wakaf hendaklah mengemukakan laporannya.

Jawatankuasa Pengurusan Wakaf hendaklah pada tiap-tiap tahun, menghantar kepada Majlis satu laporan mengenai wakaf bagi tahun yang terdahulu sebelum 30 haribulan April tahun berikutnya.

5. Minit.

(1) Jawatankuasa Pengurusan Wakaf hendaklah menyebabkan minit segala mesyuaratnya disenggara dan disimpan dalam bentuk yang sepatutnya.

(2) Apa-apa minit yang dibuat mengenai mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Wakaf, jika ditandatangani dengan sewajarnya boleh diterima dalam prosiding undang-undang tanpa bukti selanjutnya dan tiap-tiap mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Wakaf yang minit berkenaan dengan prosidingnya telah dibuat sedemikian hendaklah disifatkan telah dipanggil dan diadakan dengan sewajarnya dan semua anggota dalam mesyuarat itu layak dengan wajarnya untuk bertindak.


Diluluskan pada 23 Disember 1999.
[PWN. Sel. (S) 308/3; DUN. Sel. 30287/1 Jld. 3.]
ASMAWAR BIN SAMAT,
Setiausaha,
Dewan Undangan Negeri,
Selangor




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.