ENAKMEN 3 TAHUN 2002
ENAKMEN PENGAWALAN SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA ISLAM (MELAKA) 2002

BAHAGIAN IV - JEMAAH PENGURUSAN



Seksyen 12. Surat cara pengurusan, penubuhan Jemaah dan keanggotaannya.

(1) Tertakluk kepada peruntukan Enakmen ini, tiap-tiap sekolah agama hendaklah mempunyai suatu surat cara pengurusan.

(2) Tiap-tiap surat cara pengurusan hendaklah mengadakan peruntukan bagi penubuhan suatu Jemaah Pengurusan Sekolah Agama Islam, dengan seorang pengerusi, bagi pengurusan sekolah agama itu mengikut cara yang tidak tak konsisten dengan Enakmen ini.

(3) Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi sekolah agama yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri yang hendaklah diuruskan dan disenggarakan mengikut apa-apa cara yang ditentukan oleh Jabatan.

(4) Tiap-tiap Jemaah hendaklah terdiri daripada sekurang-kurangnya tujuh orang yang hendaklah memegang apa-apa jawatan yang perlu bagi mana-mana sekolah agama dan mempunyai apa-apa kuasa, fungsi dan kewajipan yang ditetapkan oleh surat cara pengurusan.

(5) Guru besar atau pengetua sesuatu sekolah agama hendaklah dilantik menjadi Setiausaha Jemaah.

(6) Tertakluk kepada peruntukan lain Enakmen ini dan khususnya peruntukan tentang pengecualian, tiap-tiap sekolah agama hendaklah diuruskan dan disenggarakan mengikut surat cara pengurusannya.

(7)Tiap-tiap surat cara pengurusan hendaklah dibuat, dipinda atau dibatalkan mengikut cara yang ditetapkan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.