ORDINAN 47 TAHUN 2001
ORDINAN KETERANGAN SYARIAH, 2001

BAHAGIAN II - PEMBUKTIAN
BAB 3 - KETERANGAN DOKUMENTAR



Seksyen 56. Pembuktian dokumen.

(1) Jika orang yang menyempurnakan sesuatu dokumen menafikan tulisan pada atau tanggungan yang diwujudkan dalam dokumen itu, maka tulisan dan penyempurnaan dokumen itu hendaklah dibuktikan oleh sekurang-kurangnya dua orang saksi kepada dokumen itu.

(2) Jika saksi-saksi kepada dokumen itu tidak dapat ditemui, maka tulisan dan penyempurnaan dokumen itu hendaklah dibuktikan oleh dua orang saksi yang boleh mengenal pasti tulisan dan tandatangan orang yang menulis dan menyempurnakan dokumen itu.

(3) Jika saksi-saksi kepada dokumen itu atau orang-orang yang disebut dalam subseksyen (2) boleh mengenal pasti tulisan dan tandatangan itu, maka orang yang menyempurnakan dokumen itu adalah terikat dengan apa-apa tanggungan yang diwujudkan dalam dokumen itu.

(4) Jika saksi-saksi kepada dokumen itu atau orang-orang yang disebut dalam subseksyen (2) tidak mengenal pasti tulisan dan tandatangan pada dokumen itu sepenuhnya, maka tulisan dan tandatangan pada dokumen itu hendaklah disahkan oleh sekurang-kurangnya dua orang pakar.

(5) Jika tulisan dan tandatangan pada dokumen itu telah disahkan oleh pakar-pakar, maka orang yang menyempurnakan dokumen itu adalah terikat dengan apa-apa tanggungan yang diwujudkan dalam dokumen itu.

(6) Jika sesuatu dokumen tidak boleh dibuktikan dengan mana-mana cara yang disebut terdahulu, maka orang yang menafikan tulisan dan penyempurnaan dokumen itu hendaklah, apabila diminta oleh orang yang mengatakan bahawa orang disebut terdahulu itu ialah orang yang menyempurnakan dokumen itu, mengangkat sumpah, dan jika dia enggan berbuat demikian, orang yang mengatakan itu boleh mengangkat sumpah dan berikutan dengannya membuktikan tuntutannya.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.