ENAKMEN 4 TAHUN 1999
ENAKMEN TATACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1999

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 3. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993 [En. 7.];

"bailif" termasuklah Pendaftar atau mana-mana kerani atau pegawai Mahkamah yang dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan kewajipan seorang bailif;

"borang" ertinya borang yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga, dan borang yang tersebut dengan menggunakan suatu nombor ertinya borang yang dinomborkan sedemikian dalam Jadual itu;

"ditetapkan" ertinya ditetapkan oleh kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Enakmen ini;

"Hakim" atau "Hakim Syarie" ertinya Ketua Hakim Syarie atau Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah yang dilantik masing-masing di bawah seksyen 43, 45 dan 46 Enakmen Pentadbiran;

"hari kehadiran" ertinya hari yang ditetapkan dalam mana-mana saman atau prosiding lain bagi kehadiran defendan atau mana-mana hari lain yang ditetapkan bagi pendengaran apa-apa prosiding;

"lien" ertinya suatu hak atas harta seorang penghutang penghakiman setakat keterhutangan itu;

"Mahkamah" atau "Mahkamah Syariah" mempunyai ertinya yang diberikan kepadanya dalam yang ditubuhkan di bawah seksyen 42 Enakmen Pentadbiran;

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang yang ditubuhkan di bawah subseksyen 4(1) Enakmen Pentadbiran;

"notis" ertinya notis bertulis melainkan jika dalam apa-apa hal diperihalkan selainnya oleh Mahkamah;

"orang belum dewasa" ertinya seseorang yang belum mencapai umur lapan belas tahun;

"orang tak berkeupayaan" termasuklah seseorang budak, seseorang yang tak sempurna akal dan seseorang yang ditegah menguruskan hartanya;

"Peguam Syarie" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"pemiutang penghakiman" ertinya orang yang berhak menguatkuasakan penghakiman bagi pembayaran wang sama ada secara ansuran atau selainnya;

"Pendaftar" ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah atau Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah seksyen 47 Enakmen Pentadbiran;

"penghakiman" termasuklah alasan penghakiman;

"penghutang penghakiman" ertinya orang yang bertanggungan di bawah mana-mana penghakiman bagi pembayaran wang;

"terjemahan diperakui" ertinya terjemahan apa-apa dokumen yang diperakui betul oleh pegawai Mahkamah atau oleh mana-mana orang lain yang diterima oleh Mahkamah.


(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan tidak ditakrifkan dalam Enakmen ini tetapi ditakrifkan dalam Bahagian I Akta-Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388.] hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya setakat yang pengertian itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.