ENAKMEN 12 TAHUN 1986
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM 1986

BAHAGIAN III - MAHKAMAH SYAR'IAH
Prosedur dalam Perbicaraan Jenayah



Seksyen 103. Saman dan waran.

(1) Apabila menerima maklumat tentang kejadian sesuatu kesalahan dalam bidangkuasanya untuk dibicarakan, Mahkamah bolehlah mengeluarkan saman kepada orang yang kena tuduh itu supaya hadir di hadapan Mahkamah itu pada waktu dan tempat yang dinyatakan.

(2) Saman itu hendaklah menyebut dengan amnya akan jenis kesalahan yang dipertuduhkan dan seksyen di dalam Enakmen ini atau Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985 [En. Tr. 12/85.] di bawah mana kesalahan itu boleh dihukum.

(3) Mana-mana orang yang telah disaman untuk menjawab suatu pertuduhan yang berkaitan dengan mana-mana kesalahan yang mana di bawah seksyen 220 boleh dikompaun, boleh hadir untuk menjawab pertuduhan itu sama ada bersendirian atau melalui peguam, dan boleh, dalam hal sedemikian, melalui surat yang dihantar ke Mahkamah dengan pos berdaftar, mengaku salah atas pertuduhan itu dan mematuhi perintah Mahkamah, tetapi subseksyen ini hendaklah tidak dipakai dengan mana-mana orang yang telah diserahkan notis di bawah subseksyen (5).

(4) Mana-mana saman yang dikeluarkan yang berkaitan dengan suatu pertuduhan yang termasuk di dalam peruntukan-peruntukan subseksyen (3) hendaklah mengandungi notis memberitahu orang yang dituduh mengenai hak-haknya di bawah subseksyen itu dan jumlah denda yang akan dikenakan ke atasnya, yang mana jumlah itu hendaklah dikepilkan bersama-sama surat pengakuan salah atas kesalahan itu.

(5) Jika seseorang pegawai polis atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Pesuruhjaya mempunyai sebab-sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa mana-mana orang telah melakukan kesalahan terhadap Enakmen ini atau mana-mana kaedah di bawahnya yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Rendah Syar'iah, dia boleh, sebagai ganti membuat permohonan kepada Mahkamah untuk mendapatkan saman, serta-merta menyerahkan ke atas orang itu suatu notis dalam borang yang ditetapkan, memerintahkan orang itu untuk hadir di Mahkamah Rendah Syar'iah yang berdekatan sekali yang mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kesalahan itu, pada masa dan tarikh yang hendaklah dinyatakan di dalam notis tersebut.

(6) Jika mana-mana orang yang telah diserahkan dengan suatu notis di bawah subseksyen (5) mungkir untuk hadir sendiri, maka, melainkan jika didapati bahawa, secara munasabah, adalah tidak mungkin orang itu dapat hadir sebagaimana dikehendaki, Mahkamah boleh, jika berpuas hati bahawa notis telahpun diserahkan, mengeluarkan waran untuk menangkap orang itu melainkan, dalam hal kesalahan yang boleh dikompaun, orang itu telah dalam tempoh yang ditetapkan di dalam notis itu dibenarkan mengkompaun kesalahan itu.

(7) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh membuat kaedah-kaedah untuk maksud menetapkan bentuk apa-apa notis yang akan dikeluarkan menurut subseksyen (5) dan (6), dan dengan amnya untuk membolehkan peruntukan subseksyen-subseksyen itu dilaksanakan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.