ENAKMEN 2 TAHUN 2001
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM (TERENGGANU)

BAHAGIAN II - MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU DAN PELANTIKAN PEGAWAI-PEGAWAI



Seksyen 17. Memanggil mesyuarat.

(1) Mesyuarat-mesyuarat Majlis hendaklah diadakan dengan tetap sehingga tidak lebih daripada tiga bulan kalendar boleh berlalu antara satu mesyuarat dengan yang berikut.

(2) Semua mesyuarat Majlis hendaklah dipanggil oleh Setiausaha.

(3) Yang Dipertua boleh pada bila-bila masa mengarahkan Setiausaha memanggil mesyuarat.

(4) Mana-mana empat orang anggota Majlis boleh pada bila-bila masa secara bertulis menghendaki Setiausaha memanggil mesyuarat Majlis dengan syarat mereka memberitahu Setiausaha maksud yang baginya mereka menghendaki mesyuarat itu dipanggil.

(5) Setiausaha hendaklah memanggil mesyuarat dalam tempoh empat belas hari dari tarikh penerimaan arahan di bawah subseksyen (3) atau kehendak di bawah subseksyen (4).

(6) Notis bertulis sekurang-kurangnya tujuh hari hendaklah diberikan mengenai mana-mana mesyuarat, tetapi Yang Dipertua boleh, jika dia berpendapat bahawa ada keperluan mendesak untuk memanggil suatu mesyuarat dengan notis yang lebih singkat, mengarahkan supaya kehendak notis tujuh hari itu diketepikan.

(7) Notis mesyuarat boleh dihantar dengan pos, faksimili atau E-mel.

(8) Notis yang dihantar kepada seseorang anggota dengan pos hendaklah dialamatkan ke tempat tinggalnya yang terakhir diketahui dan hendaklah disifatkan telah disampaikan mengikut perjalanan biasa pos.

(9) Notis yang dihantar kepada seseorang anggota dengan faksimili hendaklah dihantar kepada nombor faksimili yang diberikan oleh anggota itu secara bertulis kepada Setiausaha dan hendaklah disifatkan telah diterima oleh anggota itu apabila kod panggilan balik diterima oleh Setiausaha.

(10) Notis yang dihantar kepada seseorang anggota dengan E-mel hendaklah dihantar ke alamat E-mel anggota itu yang diberikan kepada Setiausaha secara bertulis dan hendaklah disifatkan telah diterima apabila pentadbir mel yang berkenaan memaklumkan bahawa mel itu sudah berjaya dihantar atau jika tidak ada makluman daripada pentadbir mel bahawa mel itu tidak berjaya dihantar.

(11) Tiada notis mesyuarat diperlukan dalam hal anggota yang sedang berada di luar Malaysia.





Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.