ENAKMEN 4 TAHUN 1996
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996

BAHAGIAN III - PERUNTUKAN AM YANG LAIN
BAB 4 - PROSES UNTUK MEMAKSA PENGEMUKAAN DOKUMEN DAN HARTA ALIH YANG LAIN DAN UNTUK PENEMUAN ORANG YANG DIKURUNG DENGAN SALAH.



Seksyen 42. Saman untuk mengemukakan dokumen atau benda-benda lain.

(1) Apabila mana-mana Mahkamah atau Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis yang melakukan penyiasatan di bawah Enakmen ini berpendapat bahawa mana-mana harta atau dokumen itu perlu atau wajar dikemukakan untuk tujuan mana-mana penyiasatan, siasatan, perbicaraan atau lain-lain prosiding di bawah Enakmen ini oleh atau di hadapan Mahkamah atau pegawai itu, Mahkamah itu bolehlah mengeluarkan suatu saman atau pegawai itu bolehlah mengeluarkan suatu perintah bertulis kepada orang yang dipercayai memiliki atau mempunyai kuasa ke atas harta atau dokumen tersebut menghendakinya hadir dan mengemukakan harta atau dokumen itu atau mengemukakannya pada masa dan tempat yang disebutkan dalam saman atau perintah itu.

(2) Mana-mana orang yang dikehendaki di bawah seksyen ini untuk hanya mengemukakan mana-mana harta atau dokumen hendaklah disifatkan sebagai telah mematuhi permintaan itu jika dia menyebabkan harta atau dokumen itu dikemukakan tanpa dia sendiri hadir untuk mengemukakannya.

(3) Tidak ada sesuatu dalam seksyen ini yang boleh disifatkan sebagai menyentuh peruntukan mana-mana undang-undang berhubung dengan keterangan yang berkuatkuasa pada masa ini atau sebagai terpakai bagi mana-mana barang pos, telegram atau lain-lain dokumen dalam jagaan pihak berkuasa pos atau telegraf.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.