ENAKMEN 6 TAHUN 2004
ENAKMEN KELUARGA ISLAM (PERAK) 2004
BAHAGIAN VII - PENJAGAAN
Hadhanah atau Penjagaan Kanak-Kanak
Seksyen 87. Kuasa Mahkamah untuk membuat perintah mengenai penjagaan
(1) Walau apa pun peruntukan seksyen 82, Mahkamah boleh pada bila-bila masa dengan perintah memilih untuk meletakkan seseorang kanak-kanak dalam jagaan salah seorang daripada orang yang disebut dalam seksyen itu atau, jika ada hal keadaan yang luar biasa yang menyebabkan tidak diingini bagi kanak-kanak itu diamanahkan kepada salah seorang daripada orang itu, Mahkamah boleh dengan perintah meletakkan kanak-kanak itu dalam jagaan mana-mana orang lain atau mana-mana persatuan yang tujuannnya adalah termasuk kebajikan kanak-kanak.
(2) Untuk memutuskan dalam jagaan siapakah seseorang kanak-kanak patut diletakkan, pertimbangan yang utama ialah kebajikan kanak-kanak itu, tertakluk kepada pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada-
(a) kemahuan ibu dan bapa kepada kanak-kanak itu; dan
(b) kemahuan kanak-kanak itu, jika dia telah mencapai umur yang dapat menyatakan sesuatu pendapatnya sendiri.
(3) Adalah menjadi suatu anggapan yang boleh dipatahkan bahawa adalah untuk kebaikan seseorang kanak-kanak dalam masa dia kecil supaya berada bersama ibunya, tetapi dalam memutuskan sama ada anggapan itu terpakai bagi fakta mana-mana kes tertentu, Mahkamah hendaklah memberikan perhatian kepada tidak baiknya mengganggu kehidupan seseorang kanak-kanak dengan bertukar-tukarnya jagaan.
(4) Jika ada dua orang atau lebih kanak-kanak daripada sesuatu perkahwinan, Mahkamah tidaklah terikat meletakkan kedua-dua atau kesemuanya dalam jagaan orang yang sama tetapi hendaklah menimbangkan kebajikan setiap seorang secara berasingan.
(5) Mahkamah boleh, jika perlu, membuat perintah interim untuk menempatkan kanak-kanak itu dalam jagaan mana-mana orang atau institusi atau persatuan dan perintah itu hendaklah dikuatkuasakan dengan serta-merta dan terus dikuatkuasakan sehingga Mahkamah membuat perintah bagi penjagaan itu.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.