ORDINAN 47 TAHUN 2001
ORDINAN KETERANGAN SYARIAH, 2001
BAHAGIAN II - PEMBUKTIAN
BAB 3 - KETERANGAN DOKUMENTAR
Seksyen 53. Kaedah-kaedah tentang notis untuk mengemukakan dokumen.
Keterangan sekunder mengenai kandungan dokumen yang tersebut dalam seksyen 52 (1)
(a)
tidak boleh diberikan melainkan jika pihak yang bercadang hendak memberikan keterangan sekunder itu telah terlebih dahulu memberi kepada pihak yang memiliki atau berkuasa ke atas dokumen itu, atau kepada Peguam Syarienya atau orang lain yang diberi kuasa oleh undang-undang untuk hadir atau bertindak di hadapannya, notis untuk mengemukakannya sebagaimana yang ditetapkan oleh undang-undang; dan jika tiada notis ditetapkan oleh undang-undang, apa-apa notis sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah menurut hal keadaan kes itu:
Dengan syarat bahawa notis sedemikian tidaklah dikehendaki untuk menjadikan keterangan sekunder boleh diterima dalam mana-mana hal yang berikut atau dalam mana-mana hal lain yang Mahkamah fikirkan kehendak mengenai notis itu patut diketepikan:
(a)
apabila dokumen yang hendak dibuktikan itu sendirinya suatu notis;
(b)
apabila daripada keadaan kes itu pihak menentang mesti mengetahui yang dia akan dikehendaki mengemukakannya;
(c)
apabila didapati atau terbukti bahawa pihak menentang telah memperolehi milik dokumen asal itu dengan cara fraud atau paksa;
(d)
apabila pihak menentang atau ejennya mempunyai dokumen asal di dalam Mahkamah;
(e)
apabila pihak menentang atau ejennya telah mengaku kehilangan dokumen itu; atau
(f)
apabila orang yang memiliki dokumen itu berada di luar bidang kuasa atau tidak tertakluk kepada proses Mahkamah.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.