ENAKMEN 6 TAHUN 1993
ENAKMEN ZAKAT DAN FITRAH 1993

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"Amil" ertinya seorang yang dilantik oleh Majlis bagi memungut zakat di dalam Negeri Sabah mengikut Hukum Syarak;

"al-riqab" ertinya seseorang yang ditahan sebagai hamba atau belenggu yang memerlukan bantuan untuk membebaskan dirinya daripada apa-apa tanggungan yang telah dikenakan ke atas dirinya;

"faqir" ertinya seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau vokasion atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang tidak sampai lima puluh peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungannya;

"fi-sabilillah" ertinya seorang yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti, atau aktiviti-aktiviti untuk menegak, mempertahankan dan menyibarkan agama Islam serta kebajikannya;

"fitrah" ertinya kewajipan seseorang untuk membersihkan atau mensucikan dirinya yang kena dibayar pada tiap-tiap tahun dan boleh dibayar dalam bulan Ramadan mengikut Hukum Syarak sama ada berupa barang keperluan atau senilai dengannya;

"gharim" ertinya seseorang yang berhutang wang atau harta untuk kegunaan orang awam sebagaimana yang dibenarkan oleh Hukum Syarak;

"haul" ertinya genap setahun Hijrah pada nisbahnya;

"ibn al-sabil" ertinya mana-mana orang dalam perjalanan bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh Hukum Syarak dari mana-mana jua Negeri yang memerlukan bantuan walaupun mungkin dia mempunyai harta di dalam Negeri tempat kediamannya;

"Jawatankuasa" ertinya Jawatankuasa Zakat dan Fitrah yang dilantik di bawah seksyen 3;

"Ketua Penolong Setiausaha" ertinya Ketua Penolong Setiausaha yang mengetuai Bahagian Zakat dan Fitrah yang dilantik di bawah seksyen 10;

"Majlis" ertinya Majlis Ugama Islam Negeri Sabah yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992 [Enak. 13/92];

"Mahkamah" ertinya Mahkamah Syariah yang ditubuhkan di bawah seksyen 4 Enakmen Mahkamah Syariah 1992 [Enak. 14/92];

"miskin" ertinya mana-mana orang yang mempunyai harta atau pendapatan daripada vokasionnya yang tidak mencukupi keperluan sehariannya dan orang-orang tanggungannya;

"muallaf" ertinya seseorang yang baru memeluk agama Islam dan memerlukan bantuan kewangan;

"nisbah" ertinya cukup bilangan atau sukatan yang ditentukan oleh Hukum Syarak apabila menghitungkan banyaknya pendapatan atau kuantitinya aset yang boleh dikenakan zakat ke atasnya itu;

"Setiausaha" ertinya Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah yang dilantik di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992;

"syura" ertinya suatu perbincangan untuk mencapai keputusan muktamad;

"wasi" ertinya orang yang dilantik untuk menunaikan wasiat;

"zakat" ertinya zakat harta benda tertentu yang kena dibayar pada tiap-tiap tahun mengikut Hukum Syarak.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.