ENAKMEN 1 TAHUN 1991
ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARA' NEGERI SEMBILAN 1991

BAHAGIAN VIII - PENDIDIKAN AGAMA



Seksyen 95. Sekolah Agama Islam bukan milik Kerajaan.

(1) Kawalan ke atas Sekolah Agama Islam bukan milik Kerajaan hendaklah terletak kepada Majlis dan Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk mendaftar dan mengawal perjalanan sekolah itu dan meluluskan sukatan pelajaran bagi sekolah itu.

(2) Majlis boleh mengarahkan mana-mana pegawainya bagi memeriksa mana-mana Sekolah Agama Islam bukan milik Kerajaan bagi maksud memuaskan hatinya bahawa semua kehendak Majlis adalah dipatuhi.

(3) Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk memerintahkan mana-mana orang yang telah diambil bekerja atau akan diambil bekerja sebagai guru di mana - mana Sekolah Agama Islam bukan milik Kerajaan menjalani ujian yang diadakan oleh Jawatankuasa. Dalam keadaan di mana orang itu tidak berjaya lulus ujian tersebut, Majlis hendaklah mempunyai kuasa membatal atau menolak perlantikannya sebagai guru di sekolah itu.

(4) Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ditutup mana-mana Sekolah Agama Islam yang Jawatankuasa anggap tidak memuaskan.

(5) Seseorang yang melanggar mana-mana peruntukan seksyen ini adalah bersalah atas suatu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

(6) Suatu rayuan terhadap apa-apa tindakan, perintah atau arahan Majlis di bawah seksyen ini hendaklah dibuat ke MahkamahTinggi Syariah.

(7) Bagi maksud seksyen ini Sekolah Agama Islam bermaksud mana-mana sekolah, madrasah atau pusat pengajian di mana pendidikan Agama Islam diajar termasuklah pra-sekolah, sekolah menengah dan pra universiti.






Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.