ENAKMEN 5 TAHUN 2004
ENAKMEN WASIAT ORANG ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2004

BAHAGIAN VIII - WASIAT WAJIBAH



Seksyen 27. Bekues kepada cucu.

(1) Jika seseorang mati tanpa membuat apa-apa wasiat kepada cucunya daripada anak lelakinya yang telah mati terlebih dahulu daripadanya atau mati serentak dengannya, maka cucunya itu berhak kepada satu pertiga daripada harta pusakanya dan, jika cucu itu diberi kurang daripada satu pertiga, bahagiannya hendaklah disempurnakan mengikut kadar wasiat wajibah yang diperuntukkan di bawah seksyen ini.

(2) Kadar wasiat wajibah cucu hendaklah setakat kadar bahagian ayahnya dalam harta pusaka datuknya yang mati, dengan andaian bahawa ayahnya itu mati selepas kematian datuknya:

Dengan syarat bahawa wasiat itu tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka si mati.

(3) Cucu itu tidak berhak kepada bekues jika dia telah mewarisi daripada datuk atau neneknya, mengikut mana-mana yang berkenaan, atau jika datuk atau neneknya semasa hayatnya dan tanpa menerima apa-apa balasan, telah membuat wasiat kepada mereka atau telah memberi mereka harta yang bersamaan dengan apa yang mereka berhak untuk menerima menurut wasiat wajibah:

Dengan syarat bahawa jika wasiat itu kurang daripada apa yang dia sepatutnya berhak menerima, haknya hendaklah ditambah sewajarnya dan jika wasiat itu melebihi apa yang dia sepatutnya berhak menerima, bahagian yang lebih itu hendaklah menjadi wasiat suka rela yang tertakluk kepada persetujuan waris-waris.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.