ORDINAN 41 TAHUN 2001
ORDINAN MAJLIS ISLAM SARAWAK, 2001

BAHAGIAN II - MAJLIS ISLAM SARAWAK
Penubuhan, Kuasa-kuasa, dsb., Majlis



Seksyen 4. Identiti di sisi undang-undang dan kuasa-kuasa Majlis.

(1) Majlis hendaklah menjadi suatu pertubuhan perbadanan yang kekal turun-menurun dan mempunyai suatu meterai perbadanan, dan meterai perbadanan tersebut boleh dari semasa ke semasa dipecahkan, ditukar, diubah dan dibuat baru sebagaimana yang difikirkan patut oleh Majlis, dan, sehingga suatu meterai diadakan di bawah seksyen ini, meterai Majlis terdahulu bolehlah digunakan sebagai meterai biasa bagi Majlis.

(2) Majlis boleh mendakwa dan didakwa atas nama perbadanannya.

(3) Majlis boleh membuat kontrak dan boleh memperoleh, membeli, mengambil, memegang dan menikmati segala jenis harta alih dan tak alih dan, tertakluk kepada mana-mana atau lain-lain undang-undang bertulis yang menyentuhnya, boleh memindahhakkan, menyerahhakkan, menyerahkan dan memulangkan, menggadaikan, menggadaijanji, mendemis, menyerahhakkan semula, memindahkan hakmilik atau selainnya melupuskan, atau membuat apa-apa urusan tentang, mana-mana harta alih atau tak alih yang terletak hak pada Majlis atas apa-apa terma dan syarat yang difikirkan patut oleh Majlis dan mengikut Undang-Undang Islam.

(4) Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi bagi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah bagi mana-mana amanah.

(5) Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk mendaftarkan institusi dan sekolah agama Islam di dalam Negeri.

(6) Majlis hendaklah, bagi maksud-maksud Kanun Tanah [Bab 81 (Cetakan 1972)], disifatkan sebagai bumiputera Sarawak.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.