ENAKMEN 12 TAHUN 2003
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN KESAN KETERANGAN
BAB I - BEBAN MEMBUKTIKAN



Seksyen 77. Beban membuktikan bahawa kes orang tertuduh termasuk dalam kecualian

Apabila seseorang dituduh atas apa-apa kesalahan, maka beban membuktikan kewujudan hal keadaan yang menjadikan kes itu termasuk dalam mana-mana kecualian am yang diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 [En. No. 4/92] terletak padanya, dan Mahkamah hendaklah menganggapkan hal keadaan tersebut sebagai tidak ada.

MISALAN

(a) A dituduh bersekedudukan dengan B.

Pendakwa mengemukakan keterangan untuk menunjukkan bahawa A telah menceraikan B, isterinya.

A mendakwa bahawa dia dipaksa menceraikan isterinya.

Beban untuk membuktikan bahawa dia dipaksa terletak padanya.

(b) C dituduh melakukan persetubuhan secara haram dengan D.

C mendakwa bahawa dia telah berkahwin dengan D di negara asing.

Beban membuktikan bahawa perkahwinan itu berlaku terletak pada C.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.