ENAKMEN 1 TAHUN 1988
ENAKMEN UGAMA BUKAN ISLAM (KAWALAN PENGEMBANGAN DI KALANGAN ORANG ISLAM) 1988


Seksyen 14. Pemeriksaan saksi.

(1) Pegawai bertauliah yang membuat penyiasatan di bawah Seksyen 12 boleh memeriksa secara lisan mana-mana orang yang dijangka tahu akan fakta-fakta dan hal keadaan yang berkaitan dengan kes itu dan hendaklah menyebabkan apa-apa pernyataan yang dibuat oleh orang yang disiasat itu ditulis.

(2) Orang itu adalah diwajibkan menjawab semua soalah berhubung dengan kes itu yang dikemukakan kepadanya oleh pegawai bertauliah itu:

Dengan syarat orang sedemikian itu boleh enggan menjawab apa-apa soalan yang jawapannya berkemungkinan mendedahkannya kepada suatu pertuduhan jenayah atau penalti atau lucut hak.

(3) Seseorang yang membuat pernyataan di bawah seksyen ini adalah diwajibkan di sisi undang-undang menyatakan apa yang sebenarnya, sama ada atau tidak pernyataan itu dibuat pada keseluruhan atau sebahagiannya bagi menjawab soalan-soalan.

(4) Pegawai bertauliah yang memeriksa seseorang di bawah seksyen kecil (1) hendaklah, terlebih dahulu memberitahu orang itu akan peruntukan-peruntukan seksyen kecil (2) dan (3).

(5) Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh mana-mana orang di bawah seksyen ini hendaklah, apabila boleh, ditulis dan hendaklah ditandatangani oleh orang yang membuatnya atau ditandakan dengan cap ibujarinya mengikut mana yang berkenaan, setelah ianya dibaca kepadanya dalam bahasa dalam mana dia membuatnya dan setelah dia diberi peluang untuk membuat apa-apa pembetulan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.