ENAKMEN 10 TAHUN 1993
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH 1993

BAHAGIAN I - PERMULAAN
BAB I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain -

"aduan" ertinya tuduhan yang dibuat secara bertulis dalam Borang 6 dalam Jadual kepada seorang Hakim bahawa seseorang sama ada diketahui atau tidak diketahui telah melakukan ataupun bersalah kerana suatu kesalahan, dengan tujuan supaya tindakan diambil oleh Hakim di bawah Enakmen ini;

"Hakim" ertinya Hakim Syarie atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah Enakmen Mahkamah Syariah 1992 [Enakmen 14 Tahun 1992];

"Hakim Mahkamah Rendah Syariah" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya di bawah Enakmen Mahkamah Syariah 1992;

"kesalahan" ertinya sesuatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis mengenai agama Islam;

"Ketua Hakim Syarie" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya di bawah Enakmen Mahkamah Syariah;

"Ketua Pendakwa Syarie" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya di bawah Enakmen Mahkamah Syariah 1992;

"Mahkamah" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya di bawah Enakmen Mahkamah Syariah 1992;

"Majlis" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992 [Enakmen 13 Tahun 1992];

"Pegawai Penguatkuasa Agama" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992;

"Peguam Syarie" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya di bawah Enakmen Mahkamah Syariah 1992;

"Pendaftar" ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah atau Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, yang dilantik di bawah Enakmen Mahkamah Syariah 1992;

"Pendakwa Syarie" ertinya Ketua Pendakwa Syarie atau Timbalan Pendakwa Syarie;

"Timbalan Pendakwa Syarie" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya di bawah Enakmen Mahkamah Syariah 1992.

(2) Semua perkataan, perbahasan, takrif dan istilah yang digunakan di dalam Enakmen ini tetapi tidak ditakrifkan dengan tertentu di dalamnya maka hendaklah disifatkan mempunyai erti yang diberi kepadanya dalam Enakmen Tafsiran dan Fasal-Fasal Am 1963 [En. 34 Tahun 1963].

(3) Jika timbul sebarang persoalan dalam mentafsirkan sesuatu perkataan, perbahasan dan istilah mengenai Hukum Syarak, maka adalah dalam bidangkuasa Mahkamah yang membicarakan kes itu untuk memberi tafsiran kepada perkataan, perbahasan dan istilah sedemikian itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.