ENAKMEN 8 TAHUN 1991
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI MELAKA) 1991
BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN NATIJAH KETERANGAN.
BAB 8 - PEMERIKSAAN SAKSI
Seksyen 101. Mahkamah memutuskan bila soalan-soalan boleh ditanya dan bila saksi boleh dipaksa menjawab.
(1)
Jika sesuatu soalan adalah berhubung dengan sesuatu perkara yang tidak berkaitan dengan guaman atau pembicaraan itu, kecuali setakat yang menyentuh kebenaran saksi itu dengan mencemarkan wataknya, maka Mahkamah hendaklah memutuskan sama ada saksi itu boleh dipaksa menjawab soalan itu atau tidak, dan Mahkamah boleh, sekiranya difikirkannya tidak patut memaksa saksi itu menjawab soalan itu, memberitahu kepada saksi itu bahawa ia tidaklah terpaksa menjawabnya.
(2) Pada menjalankan budibicaranya, Mahkamah hendaklah memberi perhatian atas perkara-perkara yang berikut-
(a)
soalan-soalan itu adalah patut jika sekiranya ia berkeadaan yang sedemikian bahawa kebenaran tohmahan yang dibayangkan olehnya itu akan mempengaruhi dengan kuatnya pendapat Mahkamah tentang sama ada saksi itu boleh dipercayai atau tidak atas perkara yang diterangkannya itu;
(b)
soalan-soalan itu adalah tidak patut jika sekiranya tohmahan yang dibayangkan olehnya itu adalah berhubung dengan perkara-perkara yang berlaku terlalu lama dahulu atau yang berkeadaan yang sedemikian bahawa kebenaran tohmahan itu tidak akan mempengaruhi sedikit sahaja pendapat Mahkamah tentang sama ada saksi itu bleh dipercayai atau tidak atas perkara yang diterangkannya itu;
(c)
soalan-soalan itu adalah tidak patut jika sekiranya kepentingan tohmahan yang dibuat ke atas watak saksi itu dengan kepentingan keterangannya itu jauh tidak berpadanan; atau
(d)
Mahkamah boleh, sekiranya difikirkan patut, mengambil fahaman dari keengganan saksi itu menjawab bahawa jawapannya, jika diberi akan merugikan.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.