ENAKMEN 8 TAHUN 1982
ENAKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG 1982

BAHAGIAN VII - PERKARA WANG



Seksyen 104. Penubuhan Kumpulanwang Khairat Am.


(1) Suatu Kumpulanwang yang akan dikenali sebagai Kumpulanwang Khairat Am, adalah dengan ini ditubuhkan. Melainkan lain dari yang peruntukkan dalam Enakmen ini Kumpulanwang Khairat Am itu akan mengandungi semua wang dan harta alih dan takalih yang mana diberi, dibayar atau yang kena bayar kepada Kumpulanwang itu oleh mana-mana orang sebagaimana mengikut Hukum Syara' atau Enakmen ini.

(2) Semua Zakat dan Fitrah yang dipungut mengikut Enakmen ini hendaklah dimasukkan ke dalam Kumpulanwang Khairat Am itu tetapi hendaklah dikira dalam kiraan wang yang berasingan.

(3) Semua wang dan harta di dalam Kumpulanwang Khairat Am hendaklah diletak hak kepada Majlis yang mana hendaklah mentadbirkannya mengikut Enakmen ini dan peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya:

Dengan syarat pelaburan-pelaburan di atas harta benda dan Kumpulanwang-kumpulanwang yang diletak hak kepada Majlis itu boleh dijual, diperolehi, dicagar atau dilepaskan dan semua harta benda kumpulanwang-kumpulanwang itu dan pendapatan-pendapatan yang diperolehi darinya boleh dipelaburkan dari masa ke semasa dalam mana-mana pelaburan yang dibenarkan oleh mana-mana undang-undang bertulis yang pada masa itu berkuatkuasa untuk melaburkan Kumpulanwang Amanah.

(4) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Enakmen ini Majlis, dengan limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, boleh membuat peraturan-peraturan bagi kutipan, pentadbiran dan pembahagian semua harta-harta dalam Kumpulanwang Khairat Am.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.