ENAKMEN 4 TAHUN 1994
KANUN ACARA JENAYAH (SYARIAH) 1994

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB XXIX - AM



Seksyen 206. Perintah bagi pembayaran pampasan.

(1) Mahkamah yang mensabitkan mana-mana orang atas apa-apa kesalahan boleh memerintahkan supaya dia membayar sejumlah wang yang ditetapkan oleh Mahkamah sebagai pampasan kepada mana-mana orang atau kepada wakil mana-mana orang, yang telah mengalami bencana berkenaan dengan badan, nama baik at au hartanya oleh kerana kesalahan yang baginya hukuman itu dijatuhkan; dan seksyen 207 hendaklah terpakai bagi mana-mana perintah yang dibuat di bawah seksyen ini.

(2) Setakat amaun yang telah dibayar kepada seseorang atau kepada wakil seseorang di bawah perintah bagi pampasan, apa-apa tuntutan orang atau wakil itu bagi gantirugi yang dialami oleh sebab kesalahan itu hendaklah disifatkan telah dijelaskan, tetapi perintah pembayaran itu tidaklah boleh menjejaskan apa-apa hak kepada remedi sivil bagi mendapat kembali apa-apa harta atau gantirugi yang melampaui amaun pampasan yang dibayar di bawah perintah itu.

(3) Tiap-tiap perintah yang dibuat di bawah seksyen ini oleh seseorang Hakim boleh dirayu kepada Mahkamah Tinggi Syariah dalam hal perintah yang dibuat oleh Mahkamah Rendah Syariah, dan kepada Mahkamah Rayuan Syariah dalam hal perintah yang dibuat oleh MahkamahTinggi Syariah.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.