ENAKMEN 5 TAHUN 2005
ENAKMEN WAKAF (NEGERI SEMBILAN) 2005
BAHAGIAN III - TANGGUNGJAWAB MAJLIS
Seksyen 11. Skim wakaf.
(1) Majlis boleh menubuhkan apa-apa skim wakaf—
(a)
melalui sumbangan wang tunai atau apa-apa sumbangan kewangan yang lain daripada manamana orang, persatuan atau institusi yang diwakafkan kepada Majlis;
(b)
dengan menawarkan saham wakaf untuk dijual, atau mengeluarkan bon wakaf atau surat cara lain bagi jaminan berharga sebagai wakaf, kepada mana-mana orang, persatuan atau institusi; atau
(c)
bagi maksud pelaburan,
bagi atau dalam mana-mana harta yang diperolehnya atau yang akan diperolehnya, atau bagi pembangunan mana-mana
mawquf.
(2) Dalam subseksyen (1), “saham wakaf”, “bon wakaf” dan “surat cara lain bagi jaminan berharga” ertinya mewujudkan suatu wakaf melalui penawaran saham, atau pengeluaran bon atau surat cara lain bagi jaminan berharga yang kemudiannya diserahkan sebagai wakaf oleh pembeli saham, bon atau surat cara lain bagi jaminan berharga itu kepada Majlis.
(3) Mana-mana harta yang diperoleh atau yang akan diperoleh atau yang dibangunkan daripada sumbangan, hasil atau pelaburan di bawah subseksyen (1) boleh menjadi suatu wakaf am atau wakaf khas.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.