ORDINAN 41 TAHUN 2001
ORDINAN MAJLIS ISLAM SARAWAK, 2001

BAHAGIAN V - PENUBUHAN LEMBAGA BAITULMAL DAN WAKAF, BAITULMAL, WAKAF DAN NAZR
Penubuhan dsb., Baitulmal dan Caruman-Caruman kepadanya



Seksyen 48. Caruman kepada Baitulmal oleh majikan-majikan berkenaan dengan pekerja-pekerja beragama Islam.

(1) Tertakluk kepada Ordinan ini dan mana-mana kaedah-kaedah yang dibuat di bawah seksyen 82, tiap-tiap majikan seseorang pekerja Islam hendaklah membayar kepada Baitulmal caruman pada tiap-tiap bulan bagi setiap orang pekerja beragama Islam itu sebanyak amaun mengikut emolumennya bagi bulan tertentu pada kadar yang dinyatakan dalam Jadual.

(2) Walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis atau apa-apa kontrak yang berlawanan, seseorang majikan adalah berhak untuk mendapatkan balik daripada emolumen pekerja beragama Islam itu amaun apa-apa caruman yang telah dibayar kepada Baitulmal bagi pihak pekerjanya itu.

(3) Seseorang majikan yang gagal membayar caruman-caruman yang disebutkan dalam subseksyen (1) kepada Baitulmal dalam tempoh masa yang ditetapkan itu adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan dikenakan denda tidak melebihi lima ratus ringgit .

(4) Seseorang majikan yang telah mendapatkan balik apa-apa amaun caruman daripada emolumen seseorang pekerja Islam mengikut subseksyen (2) dan gagal membayar caruman yang didapatkan balik itu kepada Baitulmal dalam masa yang ditetapkan itu adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit.

(5) Walau apa pun subseksyen (6), Yang di-Pertua Negeri boleh, dari semasa ke semasa, melalui pemberitahuan dalam Warta, mengubahkan amaun caruman yang dinyatakan dalam jadual dan boleh menetapkan amaun-amaun caruman yang berlainan yang kena dibayar oleh majikan bagi golongan-golongan pekerja Islam yang berlainan.

(6) Tanpa menyentuh subseksyen (1) dan (2),-
dan majikan itu hendaklah membuat potongan bulanan itu seolah-olah kadar caruman yang pekerja itu telah pilih untuk dibuat bayaran ialah kadar yang ditetapkan dalam Jadual dan majikan itu hendaklah meremitkan amaun potongan yang lebih itu kepada Baitulmal, selain caruman bulanan yang berkenaan bagi pekerja itu:

Dengan syarat bahawa seseorang pekerja boleh pada bila-bila masa berhenti membuat potongan bulanan yang berlebihan itu atau membatalkan pilihan yang dibuat di bawah perenggan (a) dan (b) dengan memberi notis bertulis lagi, tidak boleh kurang daripada enam bulan dari tarikh pemberian notis itu, kepada majikannya menyatakan hasratnya hendak menghentikan potongan.

(7) Apa-apa caruman yang boleh didapatkan balik daripada emolumen seseorang pekerja mengikut subseksyen (2) hendaklah didapatkan balik oleh majikan daripada emolumen yang berkenaan dengannya caruman itu adalah kena dibayar pada masa pembayaran emolumen itu atau dalam masa yang ditetapkan dan bukannya dengan cara lain.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.